Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tumbuk bahu: Norazlinah maafkan gurauan kasar Adun Warisan
Diterbitkan:  Nov 24, 2024 5:35 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Norazlinah Arif memaafkan tindakan wakil rakyat Warisan yang bergurau kasar dengan menumbuk bahunya baru-baru ini.

Adun Kunak itu bagaimanapun hanya memaafkan Adun Merotai, Sarifuddin Hata selepas membuat laporan polis.

Insiden itu berlaku pada Rabu lalu Dewan Undangan Negeri Sabah.

Video yang disiarkan Norazlinah menunjukkan Sarifuddin berjalan melepasinya sambil menumbuk bahu wanita itu.

Norazlinah kemudian didengar bersuara "aduh" manakala Sarifuddin meneruskan langkahnya.

"Kasar gurauan YB Merotai. Terpusing badan ditumbuk di bahu," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut laporan polis yang dibuat pada Jumaat lalu, Norazlinah mendakwa Sarifuddin memukulnya dengan agak kuat dan menyebabkan kesakitan badannya dirasa berhari-hari.

Sarifuddin pula pada mulanya dilihat memandang remeh kejadian itu.

Dalam komen pada video yang dimuat naik Norazlinah Rabu lalu, Adun Warisan itu meminta orang ramai supaya tidak salah faham tentang persahabatannya dengan Norazlinah.

Bagaimanapun Norazlinah dalam jawapan balas mendakwa Sarifuddin menumbuknya tanpa senyum mahupun menegurnya ketika itu.

"Senyum bah YB Datuk.. cuma saya kelam kabut ada PC (sidang media). Hehehe," belas Saifuddin.

Sarifuddin bagaimanapun pada pagi Khamis lalu memohon maaf apabila Norazlinah berkata tumbukan itu telah menyakitinya.

"Minta maaf ya kawan. Gurauan saya mungkin kasar. Tiada niat saya menyakiti.

"Terburu-buru berlari saya ditunggu wartawan. Masa saya tepuk bahu sambil saya berlari. Harap maafkan saya,” katanya.

Norazlinah pada mulanya tidak menerima permohonan maaf itu, mengatakan bahawa Adun Merotai itu jelas menumbuknya dan bukannya mengetuk.

Lebih daripada itu dia berkata, tindakan Sarifuddin telah menjatuhkan maruah dia dan suaminya.

Bagaimanapun Norazlinah melunakkan pendiriannya semalam.

"Laporan polis dan pemeriksaan pakar selesai. Saya dan suami memaafkan.

"Moga budaya gurauan kasar dan tidak menjaga adab sesama bukan muhrim tidak menjadi amalan kita.

"Mari kita jadikan insiden ini sebagai iktibar," tulisnya di Facebook.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS