Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP Melaka kekal pelaksanaan pemilihan tanpa pertandingan

DAP Melaka mengekalkan pemilihan pucuk pimpinan parti itu tanpa pertandingan buat kali kedua berturut-turut sejak 2021.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata langkah itu adalah hasil konsensus dalam kalangan ahli parti itu yang bersetuju untuk mencalonkan 15 nama bagi menganggotai senarai ahli jawatankuasa peringkat negeri tanpa sebarang pertandingan.

“Walaupun konvensyen ini sepatutnya ada pemilihan, tetapi semua calon yang bertanding itu mencapai persefahaman untuk tidak mengadakannya.

“Oleh kerana hanya 15 calon dipertandingkan maka sudah tentunya sesiapa yang dicalonkan itu telah membentuk jawatankuasa negeri yang baharu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Biasa DAP Melaka kali ke-21 2024 di Melaka hari ini.

Hadir sama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka yang juga Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka merangkap Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Loke berkata ahli jawatankuasa baharu itu akan bermesyuarat petang ini untuk menentukan Pengerusi, Timbalan Pengerusi serta jawatan-jawatan lain.

Beliau berkata empat muka baharu turut dilantik menganggotai jawatankuasa baharu itu iaitu Lim Han Siang, Teng Wen Jie, Teow Lee Yen dan Wang Yi Long.

Sebelas ahli jawatankuasa sedia ada adalah S. Chandru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh merangkap Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kerk Chee Yee, ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dan Koh Bee Ting.

Selain itu, ADUN Banda Hilir Leng Chau Yen, ADUN Kota Laksamana Low Chee Leong, Lui Poh Siong, Mohd Najib Rebu, Poh Chiou Shya, bekas ADUN Gadek G. Saminathan dan ADUN Kesidang merangkap Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Choo Chin.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS