Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tidak boleh memberi tekanan kepada SPRM untuk menyiasat skandal rasuah membabitkan Adun di negeri itu kerana ia merupakan salah guna kuasa.
Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimini berkata, ini susulan ada ada pihak mendesak perdana menteri menekan SPRM agar segera menahan dan menyiasat individu terbabit.
"Sebagai makluman bukan sahaja menghalang siasatan, sebenarnya menggunakan kuasa perdana menteri menekan SPRM melakukan siasatan terhadap individu tertentu adalah campurtangan dan merupakan penyalahgunaan kuasa seorang perdana menteri.
"Oleh itu lebih baik kita beri ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan dengan bebas tanpa campur tangan dan memastikan tatakelola pihak dalam agensi tidak diganggu gugat.
"Kita yakin Perdana Menteri tidak akan campur tangan dalam siasatan ini dan berikan ruang kepada SPRM untuk bergerak bebas menjalankan siasatan," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Timbalan ketua penerangan PKR itu berkata PKR Sabah akan membuat laporan polis berhubung dakwaan Anwar cuba melindungi dan menutup laporan rasuah terhadap beberapa Adun berkenaan.
Menurutnya kenyataan palsu itu dibuat beberapa laman Tiktok dan Facebook yang telah dikenal pasti.
"Dalam laporan ini pemfitnah turut menyatakan perdana menteri melindungi beberapa Adun yang dikaitkan dengan rasuah dan salahguna kuasa kerana ingin berunding dan meminta kerusi Adun lebih banyak untuk ditandingi Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
"Laporan ini jelas fitnah dan berniat jahat terhadap perdana menteri yang dikenali sebagai penentang rasuah dan salahguna kuasa.
Awal bulan ini, Malaysiakini menyiarkan beberapa siri pendedahan mengenai dakwaan skandal rasuah yang didakwa membabitkan wakil negeri Sabah.
Siri itu berdasarkan lapan rakaman video yang dari pemberi maklumat, yang memaparkan perbincangannya dengan beberapa menteri dan Adun Sabah berkaitan pemberian ratusan ribu ringgit untuk mendapatkan kuota pelombongan mineral.
Pemberi maklumat itu, yang mengaku memberi rasuah, bersedia berkongsi bahan bukti dengan SPRM dengan syarat mendapat perlindungan bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menafikan sebarang salah laku dan mahu ahli perniagaan itu disiasat terlebih dulu.
Pada 17 Nov, SPRM memakluman telah menerima laporan berkenaan pemberi maklumat berkenaan dan siasatan setakat ini telah membawa kepada penemuan maklumat yang mengaitkan beberapa Adun yang disyaki terlibat.