Gerakan akan membangkitkan isu perbezaan pendapat mengenai calon perdana menteri PN dalam mesyuarat majlis tertinggi gabungan itu pada bulan depan.
Bercakap kepada pemberita, presidennya Dominic Lau sekali lagi menegaskan Gerakan tidak setuju dengan kenyataan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin bahawa PAS lebih layak untuk mengetuai gabungan itu.
Ketika itu, Hashim berkata pemimpin PAS seharusnya dipertimbang sebagai calon perdana menteri kerana parti itu mempunyai paling banyak kerusi Parlimen dalam PN serta jentera akar umbi yang lebih kukuh.
“Sekarang, untuk membentuk kerajaan, gabungan politik pun perlu bekerjasama dengan gabungan lain. Tidak boleh satu parti dengan majoriti (dalam gabungan) yang mahu menjadi perdana menteri.
“Jika mengikut logik (jumlah kerusi setiap parti) ini, maka perdana menteri untuk PH sepatutnya dari DAP kerana mereka ada 40 ahli Parlimen, lebih banyak daripada PKR,” kata Lau ketika sidang media selepas majlis rumah terbuka Deepavali tahunan parti itu, di Kuala Lumpur hari ini.
“Mengapa mereka (DAP) bukan perdana menteri atau calon perdana menteri? Kerana seorang perdana menteri mesti mendapat sokongan daripada majoriti ahli Parlimen (di Dewan Rakyat) merentasi pelbagai parti dan gabungan.
“Jadi, pandangan saya ialah saya tidak bersetuju (dengan PAS). Perbezaan ini akan dibawa ke mesyuarat majlis tertinggi PN pada 12 Disember,” kata Lau.
Kenyataan Hashim, yang pada Jumaat lalu, adalah respons kepada kenyataan Naib Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu yang menegaskan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin kekal sebagai satu-satunya calon PM gabungan itu.
Tak jejaskan PN
Sementara itu, Lau berkata perbezaan pendapat dalam PN tidak akan melemahkan gabungan itu,“Saya tidak nampak ia akan melemahkan hubungan antara parti komponen walaupun terdapat perbezaan pendapat atau cadangan. Ini adalah perkara biasa.
“Kita masing-masing ada peranan sendiri, misi kita sendiri, tetapi matlamat kita hanya satu, iaitu memastikan kemenangan PN dalam pilihan raya,” katanya lagi.
Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkunjung ke rumah Hashim di Sanglang, Perlis dan berkata keinginan mereka untuk terus bekerjasama tetap sama.