Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Di tengah isu calon PM, Wan Saiful jumpa Mursyidul am PAS
Diterbitkan:  Nov 24, 2024 1:54 PM
Dikemaskini: 5:55 AM

Seorang pemimpin Bersatu tampil bertindak meredakan pergeseran yang tercetus antara partinya dengan PAS berhubung isu calon perdana menteri.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkongsi tentang pertemuannya dengan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin, dalam satu hantaran di Facebook.

"Sambil menikmati laksa 'home made', kami berbual mengenai suasana politik negeri dan nasional. 

"Alhamdulillah komitmen kita sama dan keinginan kita untuk mara ke hadapan sederap juga sama,” tulisnya semalam.

Pada Jumaat lalu, Hashim berkata Bersatu tidak boleh mengenepikan PAS dalam soal menentukan calon perdana menteri PN.

Hashim berkata demikian ketika menjawab kenyataan Naib Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu mengenai Muhyiddin Yassin sebagai calon tunggal PN untuk jawatan itu.

Susulan kenyataan Hashim, Presiden Gerakan Dominic Lau menegaskan Muhyiddin kekal sebagai calon perdana menteri PN.

Sementara itu, Wan Saiful ketika dihubungi berkata dia membuat perjalanan dari Kuala Lumpur ke Sanglang, Perlis untuk bertemu Hashim atas inisiatif sendiri.

“Saya mengenalinya sejak 1990-an. Dia pernah tinggal di rumah saya di Liverpool dan Luton.

"Saya juga pernah memandunya ke pelbagai mesyuarat apabila dia melawat UK," katanya.

'Tiada abang besar dalam PN'

Dalam wawancara berasingan dengan Free Malaysia Today, Wan Saiful dilapor menafikan persepsi PAS menjadi "abang besar" dalam PN, sebaliknya berkata semua parti komponen perlu bekerjasama untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

Dia juga berkata "tidak logik" untuk membandingkan Bersatu yang hanya ada lapan tahun pengalaman sejak ia ditubuhkan dengan PAS yang telah berdekad dalam arena politik negara.

"Peranan kita saling melengkapi, dan jika gabungan ini tidak wujud, maka kita tidak akan berada di kedudukan kita sekarang. Mungkin Kelantan dan Terengganu akan kekal bersama PAS tetapi dengan majoriti yang berkurangan.

“Jadi, bila orang kata ada ‘abang besar’ (dalam PN), saya tak nampak,” kata Wan Saiful.

Pada masa ini, PAS mempunyai kerusi Parlimen terbanyak dalam PN dengan 43 kerusi, diikuti Bersatu yang memenangi 31 kerusi pada PRU15 lalu.

Bagaimanapun, Bersatu sejak itu kehilangan enam ahli Parlimennya yang menjadi penyokong kerajaan. Gerakan pula tidak mempunyai sebarang kerusi di Dewan Rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS