Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Rakyat tak akan sokong lagi pemimpin muda jika tak tunai janji'
Diterbitkan:  Nov 24, 2024 12:31 PM
Dikemaskini: 4:31 AM

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengingatkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim bahawa sokongan terhadap pemimpin muda berdepan risiko ekoran kegagalan menangani isu berkaitan belia pada masa ini.

Menyifatkan ketua Pemuda PKR itu sebagai kawannya, Syed Saddiq yang juga bekas menteri belia dan sukan mengimbau kembali bagaimana mereka pernah bekerjasama dalam kerajaan dan juga di jalanan.

“Dia bukan sahaja sahabat, bahkan sebelum saya sertai politik, dia adalah figura saya hormati dan segani, pernah turun ke jalanan lakukan protes bersama dan saya ingat lagi semasa dalam kerajaan, mereka pun tuntut beberapa isu perubahan dan saya ikut,” kata Syed Saddiq dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia yang disiarkan hari ini.

Syed Saddiq membangkitkan tindakan kerajaan PH di bawah Mahathir Mohamad pada 2018 untuk menggantung penggunaan Akta Hasutan 1948 sementara menunggu ia dimansuhkan.

“Tetapi, malangnya, hari ini ia berubah terus, buat pusingan ‘U’ beberapa kali. 

“Saya risau kerana apabila segelintir pemimpin muda dalam kerajaan dijadikan ikon dan tokoh, tetapi, jika mereka tidak dapat laksana janji, rakyat pun muak dan tidak lagi mahu mendukung kepemimpinan muda yang lain.

“Dahulu kamu (Adam Adli) kata isu PTPTN akan lawan (mansuh), hari ini tiada komen langsung,” katanya yang merupakan bekas presiden Muda.

Syed Saddiq diminta mengulas mengenai pemimpin politik yang sebelum ini, semasa menjadi aktivis dan pembangkang, berada di barisan depan dalam protes menuntut reformasi namun kini "senyap" sebaik sahaja menjadi kerajaan.

“Ini isu belia melangkaui banyak kementerian dan kita perlu pertahankan nasib anak muda yang merupakan generasi sandwich, terhimpit dari atas ke bawah. 

“Jika kita tidak berani mempertahan dan membela masa hadapan mereka maka malap masa hadapan negara,” katanya lagi.

Janji untuk memansuhkan pinjaman PTPTN termasuk dalam manifesto PH untuk PRU 2013.

Namun pada PRU 2018, ia ditukar kepada janji untuk membenarkan penangguhan pembayaran semula untuk peminjam yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan.

Bulan lalu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Mustapha Sakmud berkata sukar untuk kerajaan memansuhkan hutang pinjaman PTPTN dalam keadaan kewangan negara pada masa ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS