Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing berkata dia ada menerima pertanyaan daripada pelancong asing mengenai jika Malaysia adalah sebuah negara bersifat perkauman atau ekstrem agama, berikutan serbuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke atas beberapa premis di ibu negara sebelum ini.
Serbuan itu merupakan operasi berskala besar terhadap premis-premis yang didakwa memasang papan tanda yang tidak mematuhi undang-undang.
“Keraguan ini secara langsung mempengaruhi keputusan pelancong untuk melawat Malaysia dan membantutkan daya saing negara di persada global.
“Dengan Malaysia bersedia untuk menjadi pengerusi Asean pada 2025, dengan beberapa siri mesyuarat Asean dijadual berlangsung di negara ini tahun depan, ini memberi peluang keemasan untuk mempamerkan kepelbagaian dan keterangkuman Malaysia di pentas global.
“Bagaimanapun, saya memberi amaran kontroversi perkauman atau agama yang berterusan akan menghakis kepercayaan dan kerjasama antarabangsa, yang berisiko memberi impak negatif terhadap kempen Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 21 November lalu, China Press melaporkan DBKL melancarkan operasi berskala besar mensasarkan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa Melayu di beberapa kawasan, termasuk Segambut, Pudu, dan Jalan Silang di Kuala Lumpur.
Operasi itu melibatkan pasukan penguatkuasaan dan pelesenan DBKL, bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta pihak polis.
Menurut laporan itu, pemilik perniagaan telah dimaklumkan lebih awal sebelum sebarang tindakan penurunan papan tanda dikenakan.
Sehari kemudian, Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun menyuarakan kebimbangannya dengan menyifatkan tindakan tersebut sebagai terlalu tergesa-gesa dan mengganggu, terutama di sebuah bandar raya yang berbilang budaya dan bertaraf antarabangsa seperti Kuala Lumpur.
Fong turut menyeru DBKL untuk menghentikan sementara tindakan penguatkuasaan dan mencadangkan agar perbincangan diadakan dengan semua ahli Parlimen Kuala Lumpur untuk mencari penyelesaian yang lebih baik.
Dia mengingatkan tindakan penguatkuasaan yang berlebihan boleh mengganggu perniagaan dan memberi kesan negatif kepada ekonomi bandar raya itu, khususnya sektor pelancongan.
Mengulas lanjut, Tiong menyeru semua pihak supaya berhenti menimbulkan isu kaum dan agama kerana ia boleh merosakkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan budaya, sekali gus menghalang pertumbuhan ekonomi negara.
Sebagai sebuah negara berbilang budaya, katanya, Malaysia tidak boleh memaparkan imej negatif di arena antarabangsa.
Berkenaan isu papan tanda, Tiong menegaskan papan tanda dwibahasa bukan sahaja mencerminkan sikap mesra terhadap pelancong luar, selain tetapi sebagai unsur teras daya tarikan negara dari segi budaya.
"Dengan menerima dan mempromosikan kepelbagaian ini, Malaysia boleh menjadikan warisan pelbagai budaya sebagai kelebihan ekonomi yang menyumbang kepada pertumbuhan negara,” katanya.
Tiong kemudian menggesa DBKL untuk bekerjasama dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan mempertingkatkan infrastruktur bandar dan mencipta lebih banyak tarikan untuk menawarkan pengalaman unik dan menarik kepada pelancong di Kuala Lumpur.
“Berbanding menampakkan imej autoritarian dan terkebelakang, DBKL seharusnya menjiwai semangat ketamadunan dan keterbukaan ibu kota.
"Multikulturalisme bukanlah kelemahan, tetapi kelebihan dalam daya saing.
"Dengan menolak pemikiran sempit dan mengelakkan penekanan berlebihan terhadap isu perkauman dan agama, kita boleh mencipta masa depan yang lebih baik untuk negara, menyatukan rakyatnya, dan memacu negara ke hadapan bersama-sama,” katanya lagi.