Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Apa yang lazim dilihat warganet pada masa ini ialah kelantangan Ramli MS sewaktu menjadi juri Akademi Fantasia mahupun Gegar Vaganza. Tetapi sekeras-keras dan segarangnya ahli muzik itu, tidak pernah pula kita dengar ada bintang melutut di hadapannya. 

Namun keadaan berbeza bagi ayah saudara Ramli iaitu Allahyarham S Atan. Gara-gara penangan tegasnya S Atan, ada seorang bintang teresak-esak lalu melutut di depannya memohon maaf.

Sebelum itu, komposer terkenal itu sangat kecewa terhadap bintang tersebut sehinggakan dia terus bersemuka dengan tauke syarikat penerbitan EMI untuk melepaskan jawatannya sebagai penerbit album di situ.

Sewaktu menemu bual S Atan pada awal 1990-an, kesan daripada kekecewaan yang dialaminya masih berbaki. Dia melampiaskan emosi marah dan kecewanya terhadap Mrs Beh yang menjadi boss besar syarikat rakaman antarabangsa berkenaan.

"Mrs Beh, you want to listen to me or Sudir? If you listen to that superstar, I will submit my 24 hours resignation as EMI producer," kata S Atas. 

Terkulat-kulat Mrs Beh mendengarnya.

Hal itu kerana superstar dimaksudkan S Atan itu ialah Sudirman Haji Arshad. Penyanyi berkenaan merupakan anak emas EMI, manakala S Atan ketika itu lubuk emas syarikat berkenaan.  

Krisis emosi S Atan dengan Sudirman tercetus apabila penyanyi itu mahukan perubahan dibuat ke atas susunan muzik pada lagu Punch Card yang dimuatkan dalam album Abadi.

Proses makan masa lama

Sebenarnya kedua-dua mereka bukanlah asing antara satu sama lain. S Atas dan Sudirman sudah berkolaborasi dalam lima album sebelum itu. Tetapi permintaan Sudirman untuk album terbarunya dianggap sudah keterlaluan.

Allahyarham bersama Sudirman

"Yang menjadi kemarahan saya ialah permintaan Sudir itu dibuat hanya selepas album Abadi selesai menjalani final mixing (adunan akhir).

"Maknanya ketika itu album tersebut sudah selesai, cuma menunggu masa untuk dicetak dan diedarkan. 

"Jika permintaan Sudir itu dibuat semasa peringkat proses rakaman memanglah ia boleh dipertimbangkan.

"Dah jadi satu kerja pula jika saya mengikut kehendaknya, misalnya terpaksa menyewa studio semula, mengumpulkan ahli muzik, tangguh pelancaran album dan semua itu akan menambah kos," kata Allahyarham.

Dengan teknologi pada masa itu, proses pembikinan album memang agak rumit. Untuk proses memasukkan vokal artis sahaja akan makan masa sehingga empat hari. Rakam empat lagu pula memakan masa lapan jam. 

Itu belum lagi mengambil kira komitmen pemain dram yang memakan masa antara dua hingga tiga hari, pemain gitar/bass (dua hari) dan piano (dua hari). 

Maknanya untuk menyediakan muzik tanpa penyanyi pun memakan masa seminggu.

Kemudahan ketika itu bukan macam sekarang. Pada era teknologi digital ini melalui pemprograman muzik, proses menyiapkan 12 lagu boleh diselesaikan dalam tempoh sehari sahaja.

Kemarahan S Atan terhadap Sudirman memuncak kerana penyanyi itu tidak merujuk kepadanya terlebih dahulu untuk mencadangkan perubahan, sebaliknya dia terus berjumpa dengan pengarah urusan syarikat rakaman terbabit.

"Dalam kekalutan itu Mrs Beh telefon bos saya di EMI Singapura. Sesudah dipujuk oleh bos, saya pun akhirnya mengalah, tetapi di dalam hati saya tetap marah.

"Sebaik saja urusan mengenai album itu selesai dan ia dilancarkan, saya tetap dengan pendirian saya. Saya berhenti dari EMI Malaysia dan pulang ke Singapura," katanya.

Tindakan S Atan itu menjadikan Sudirman serba salah. Dia menghubungi penerbit dan pencipta lagu itu melalui trunk call dari Kuala Lumpur beberapa kali untuk memujuk agar S Atan bekerjasama dengannya lagi.

Namun Sudirman gagal. Pujukan itu tidak dapat melembutkan hati S Atan sehinggalah penyanyi terkenal berkenaan kemudian terbang sendiri ke Singapura.

Kata S Atan, Sudirman menggunakan kaedah orang tengah untuk mengubah pendirian pemuzik berkenaan. Dia menggunakan kenalan rapat S Atan. Atas takdir tuhan, kata S Atan, mereka berkesempatan berjumpa di Singapura. 

"Disaksikan Tuhan, itulah juga kali pertama saya melihat Sudir menangis lalu melutut depan saya untuk meminta agar memaafkan dia dan mahu saya menjadi penerbit albumnya semula," kata S Atan.

Dalam keadaan haru-biru itu, S Atan menjelaskan kepada Sudirman bahawa dia tetap dengan pendiriannya, justeru menasihatkan agar penyanyi terbabit agar dia tidak berbuat begitu kepada penerbit album yang lain. 

Mahu identiti sendiri

Ketegasan S Atan sewaktu bekerja jelas sepertimana diceritakan adiknya, Belle Fatah apabila memberitahu memang ramai artis terkenal diherdik oleh pengkarya terkenal itu.

Ia termasuk pendirian diambil S Atan ketika menanggapi protes dibuat Herman Tino yang berjalan dari Kuala Lumpur ke Ipoh pada 1989 sebagai satu simbolik protes.

Pada umumnya, punca di sebalik tindakan Herman Tino itu belum disahkan tetapi kata Belle, S Atan pernah meluahkan rasa tidak puas hati kerana penyanyi berkenaan mahukan lagu yang disiapkan untuknya dicipta seperti dangdut Rhoma Irama.

Belle Fattah (dua dari kanan)

"Saya ingat lebih kurang Herman Tino nak tukar irama lagu ciptaan abang saya itu mengikut cara Rhoma Irama.

"Abang Atan pula, jiwa Melayunya tebal. Dia mahukan lagunya membawa identiti sendiri.

"Contohnya lagu Dangdut Raggae ciptaan Abang Atan dan dinyanyikan Zaleha Hamid. Kita dengar rasa riang sebab tak sama dengan lagu-lagu dangdut Indonesia," katanya. 

Sungguhpun begitu Herman Tino tetap menyanjungi S Atan yang menghasilkan lagu Mengapa Dikenang, Mengapa Difikir.

S Atan juga tidak asing kepada saya kerana dia adalah komposer menghasilkan lagu untuk filem terakhir arahan bapa berjudul Pertentangan pada 1983.

Lagu-lagu ciptaannya itu dinyanyikan penyanyi Singapura, Fadilla Wanda, yang juga menjadi heroin kedua dalam filem itu, serta band undangan Black Dog Bone.

'Dekat' tanpa disedar

Selama saya terbabit dalam produksi Pertentangan itu, tidak nampak pula kelibat S Atan sama ada di lokasinya di Studio M, Merlin Hotel dan Lagoon East Coast di Singapura. 

Berbeza ketika bapa mengarah filem Ribut Barat, komposer Taib Othman acap kali ke rumah kami untuk berbincang mengenai lagu-lagu yang akan dimuatkan ke filem tersebut.

S Atan juga adalah komposer untuk filem Sesejuk Airmata Ibu arahan A Rahim terbitan Amir Communication pada 1981.

Seperkara yang tidak disedari ramai ialah jolokan nama S Atan itu terhasil sejak dia belajar di sebuah sekolah Cina di Lorong 14 Geylang, Singapura.

Nama sebenar S Atan ialah Hashim Said. Dia menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kajang, Selangor pada Sabtu lalu jam 3.23 petang. Sebelum ini Allahyarham pernah dimasukkan ke pusat perubatan akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Jamek Bandar Kajang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang.

Dia meninggalkan balu Norizan Yeob dan enam anak serta 10 cucu.  Bagi Belle sebagai adik bongsu dalam 13 beradik, S Atan bukan sahaja menjadi abang bahkan ayah yang menjaganya sejak kecil.

Bapa mereka meninggal dunia pada 1961 manakala ibu mereka pada 1992.

Biarpun S Atan sudah tiada, yang pasti setiap kali lebaran tiba, kita tentu akan terasa dekat dengan sosok yang kreatif itu sama ada secara sedar atau tidak.

Pada musim hari raya, jiwa kita akan terbuai-buai dengan alunan lagu-lagu ciptaannya seperti Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone), Indahnya Beraya Di Desa (Azlina Aziz), Salam Aidilfitri (Jamal Abdillah), Fajar Pertemuan (Freedom), Hari Mulia (Sheila Majid), Menjelang Hari Raya (DJ Dave), Dari Jauh Kupohon Maaf (Sudirman) dan Balik Kampung (Sudirman).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS