mk-logo
Berita

Berbeza pendirian politik bukan bermakna kerajaan meminggirkan negeri yang dikuasai pembangkang, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Malah katanya, negeri dikuasai pembangkang seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis mendapat jumlah royalti yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

"Saya bagi angka untuk Perlis, untuk Kelantan, untuk Terengganu itu jauh lebih tinggi daripada tahun-tahun sebelumnya lebih tinggi daripada jumlah royalti yang kita ambil.

"Tapi fakta itu kadang-kadang tidak sampai ke bawah, sebab itu politiklah.

Gambar fail, Anwar bersama MB Kelantan Mohd Nassuruddin Daud.

"Tapi kalau soal kemiskinan, soal pendidikan, kemudahan asas, kerosakan misalnya di Terengganu, keruntuhan tebing Tasik Kenyir kita pertimbangkan, kita segerakan peruntukan RM2 juta lebih, kita luluskan dalam masa segera," katanya mengulas mengenai hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Anwar mengulas perkara itu ketika Sesi TownHall pada Majlis Perasmian Program 2 Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Refomasi Perkhidmatan Awam 2024, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Anwar berkata perundingan dan perbincangan bersama menteri besar termasuk dari negeri pembangkang berlangsung dengan baik dan dia akan mengenetepikan perbezaan politik.

Katanya, anggota kabinet kerajaan turut melakukan perbincangan dengan pihak kerajaan negeri akan bertemu dengan menteri besar pembangkang.

Gambar fail, Anwar bersama MB Terengganu Dr Samsuri.

"Menteri-menteri juga bila ke negeri berbincang dengan menteri besar termasuk dengan menteri besar pembangkang.

"Bagi saya ini soal kerja, kita soal kerjasama dengan kerajaan negeri cukup jelas...

“Kalau negeri ambil sikap postif ia memudahkan, kalau ambil sikap bengis ia mempersulitkan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS