Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Skandal visa perubatan: 10 pegawai imigresen dipanggil EAIC - sumber

Seramai 10 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dipanggil untuk memberi keterangan berhubung siasatan skandal visa perubatan untuk membawa masuk warga asing.

Menurut satu sumber JIM, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) telah memanggil mereka termasuk seorang penolong pengarah imigresen kanan dari Bahagian Keselamatan dan Pasport.

"EAIC telah panggil mereka minggu ini. Semua hadir dan telah memberi keterangan.

"EAIC juga serbu pejabat penolong pengarah imigresen kanan itu.

"Siasatan masih dijalankan," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Malaysiakini telah menghubungi JIM serta EAIC dan masih menunggu maklum balas.

Sebelum ini, EAIC menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dakwaan salah laku berkaitan skandal itu.

Siasatan penuh dijalankan selaras dengan subseksyen 27(4) yang dibaca bersama dengan subseksyen 26(3) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009.

Mereka juga menyerbu Bahagian Visa, Pas dan Permit Jabatan Imigresen (JIM) di Putrajaya serta menyita 156 fail permohonan Pas Lawatan Sosial (kategori Pas Rawatan).

Selain pegawai JIM, siasatan turut melibatkan beberapa pegawai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

JIM sebelum ini memberi jaminan tidak akan berkompromi terhadap pegawainya yang terlibat dalam sindiket itu.

EAIC merupakan badan berkanun persekutuan yang, antara lain, mempunyai kuasa menyiasat sebarang aduan salah laku penguat kuasa atau agensi penguatkuasaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS