Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Imigresen tumpaskan sindiket penyeludupan manusia di Kelantan

Enam warga Thailand, termasuk dalang utama rangkaian sindiket penyeludupan manusia di Kelantan ditahan dalam operasi khas yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia di sekitar Rantau Panjang pada Rabu lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata operasi yang bermula pukul sembilan malam itu turut menahan dua lelaki tempatan dipercayai ahli sindiket berkenaan.

Dia berkata berdasarkan maklumat dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi yang terdiri daripada pegawai dan anggota pelbagai pangkat daripada Pasukan Taktikal Khas Imigresen, Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kelantan mengesan sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan selepas dilihat berulang alik mengangkut penumpang dari pengkalan haram ke lokasi van yang sedang menunggu penumpang.

“Pasukan operasi bertindak mengepung lokasi dan menahan van serta motosikal tersebut seterusnya membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Thailand yang dipercayai sebagai dalang utama manakala lima lagi lelaki Thailand yang ditahan itu bertindak sebagai ‘transporter’.

“Kesemua lapan yang ditahan berumur antara 34 hingga 67 tahun,” katanya dalam kenyataan semalam.

Zakaria berkata pemeriksaan lanjut kemudiannya membawa kepada penahanan 13 lelaki dan 22 wanita warga Indonesia, dua lelaki dan seorang wanita warga Thailand serta seorang lelaki warga Myanmar yang berusia antara 20 hingga 58 tahun.

“Jumlah keseluruhan yang ditahan adalah seramai 47 orang, dan turut dirampas 39 pasport terdiri daripada 35 pasport Indonesia dan empat pasport Thailand, dua pas sempadan, tujuh unit telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM6,510, Rupiah Indonesia 706,000 dan Singapore Dolar 11,” katanya.

Selain itu, Zakaria berkata pihaknya turut menyita enam buah kenderaan terdiri daripada empat van Komuter Thailand, satu Naza Ria dan sebuah motosikal  Honda Wave yang dipercayai digunakan untuk mengangkut pendatang tanpa izin.

Katanya, modus operandi sindiket adalah menyasarkan individu warga asing yang telah disenarai hitam dan ingin memasuki Malaysia.

Pendatang tanpa izin itu akan dibawa masuk ke Malaysia melalui pangkalan haram di Rantau Panjang, Kelantan dan seterusnya ke destinasi di sekitar Lembah Klang dengan menggunakan van pelancong Thailand.

“Bayaran yang dikenakan adalah antara RM3,000 hingga RM6,000 untuk setiap pendatang tanpa izin, bergantung kepada warganegara mereka, dan sindiket ini dipercayai telah beroperasi dan bergerak aktif selama dua bulan,” katanya.

Zakaria berkata dua lelaki warga tempatan dan enam lelaki warga Thailand ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdangan Orang dan Antipenyelupan Migran (Atipsom) 2007.

“Sementara itu, warganegara asing yang lain ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Bahagian Penguat kuasa, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Zakaria berkata Imigresen amat menghargai maklumat yang disalurkan oleh orang awam sehingga sindiket itu berjaya ditumpaskan dan pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan (ATIPSOM) 2007.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS