Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiong mohon maaf pada pelancong China
Diterbitkan:  Nov 23, 2024 8:30 AM
Dikemaskini: 12:30 AM

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing memohon maaf kepada pelancong China atas pengalaman yang tidak menyenangkan ketika mengunjungi Malaysia dan berikrar untuk menangani kelemahan itu.

Dalam ucapannya semasa merasmikan China International Travel Mart (CITM) di Shanghai, dia berkata kementeriannya menyedari pengalaman tidak menyenangkan yang dialami beberapa pelancong semasa melancong di Malaysia.

Dia berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim amat mengambil berat tentang isu itu dan telah mengarahkan pihak berkuasa berkaitan untuk menambah baik langkah keselamatan dan memastikan setiap pelancong di Malaysia akan mendapat pengalaman yang menyenangkan dan tidak dapat dilupakan.

“Atas kekurangan kami, saya amat memohon maaf dan ingin menyampaikan maaf ikhlas Malaysia kepada pelancong China.

“Kami akan terus mengekalkan komunikasi rapat dengan pihak berkaitan untuk meningkatkan lagi platform perkhidmatan pelancongan dan menambah baik pengalaman pengunjung.

“Pada masa sama, kami juga berikrar untuk mengutamakan keselamatan pelancong dan menyediakan setiap pengembara pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan selesa melalui langkah komprehensif,” katanya, menurut kenyataan pejabatnya.

Kenyataan itu tidak menghuraikan sifat kekurangan atau ketidaksenangan yang dihadapi oleh pelancong.

Di pameran itu di Shanghai, Tiong mengetuai delegasi yang merangkumi tujuh agensi pelancongan, empat hotel dan resort, tiga pemilik produk pelancongan, wakil daripada program Malaysia My Second Home (MM2H), persatuan pelancongan dan syarikat penerbangan.

Malaysia adalah tetamu kehormat di CITM, yang menurut Tiong menekankan persahabatan dan kerjasama yang mendalam Malaysia dengan China.

Dia berkata Malaysia akan mempamerkan khazanah budaya dan alam semula jadi Malaysia untuk menarik pasaran pelancongan dari China yang besar, serta memanfaatkan program MM2H Malaysia, lokasi strategiknya, kelaziman budaya, harga berpatutan dan gaya hidup yang selesa.

Menurut kenyataan itu, ketibaan pelancong China ke Malaysia telah melebihi 2.53 juta setakat September tahun ini, meningkat lebih 120,000 berbanding 2.41 juta dalam tempoh yang sama pada 2019.

Bulan lalu, penganalisis di Maybank Investment Bank dilaporkan meramalkan perbelanjaan pelancongan China di Malaysia boleh melonjak kepada lebih RM30 bilion tahun depan, iaitu hampir dua kali ganda berbanding sebelum pandemik Covid-19.

Ini berikutan jangkaan peningkatan jumlah pelawat dari China, serta peningkatan perbelanjaan oleh setiap pengunjung.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS