Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
China beri 30 hari bebas visa untuk pemegang pasport M'sia
Diterbitkan:  Nov 22, 2024 8:27 PM
Dikemaskini: 12:27 PM

China akan melanjutkan tempoh bebas visa untuk 38 negara yang layak, termasuk pemegang pasport Malaysia, dari 15 hari ke 30 hari.

Langkah ini akan berkuat kuasa mulai 30 November tahun ini sehingga akhir tahun 2025, menurut laporan Sinchew Daily.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri China, Lin Jian berkata kemudahan tempoh bebas visa ini juga akan diperluas kepada pengunjung untuk program pertukaran.

Ini selain tujuan pelancongan, perniagaan, sosial dan transit seperti yang dibenarkan dalam sistem bebas visa semasa.

China sebelum ini memperkenalkan perjalanan bebas visa selama 15 hari secara percubaan kepada rakyat Malaysia mulai 1 Disember tahun lalu hingga 30 November tahun ini.

Sebagai balasan, Malaysia juga membenarkan pelawat dari China melawat tanpa visa sehingga 30 hari.

Pada Mei lalu, China melanjutkan skim bebas visa ini sehingga akhir tahun 2025 tetapi mengekalkan tempoh 15 hari.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi kemudian memaklumkan China telah bersetuju melanjutkan tempoh kepada 30 hari selepas perjanjian dimeterai.

Malaysia juga sedang berunding dengan China untuk melanjutkan tarikh akhir pengecualian bebas visa ini kepada 31 Disember 2026, berbanding akhir tahun 2025.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS