Pertikaian mengenai siapa yang akan menerajui PN pada pilihan raya umum ke-16 (PRU16) sepatutnya tidak timbul kerana sebelum ini semua parti gabungan itu sudah bersetuju memilih Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Saifuddin Abdullah mengakui dia terkejut dengan laporan itu namun beranggapan ia pandangan peribadi individu tertentu.
"Kita tak pernah fikir kerana pada kita Muhyiddin adalah presiden pengasas (Bersatu) dan kita telah pilih beliau tanpa sebarang pertandingan.
"Jadi tidak pernah difikirkan dan tidak pernah ada sesiapa yang bercakap tentang ada orang (lain) akan mengetuai PN dan Bersatu dalam PRU16.
"Saya tahu ada berita dalam surat khabar sebelum ini, tetapi sepanjang yang saya tahu cerita itu pun tak sepatutnya timbul," katanya pada sidang media di pejabat ahli parlimen Indera Mahkota, dekat Kuantan, Pahang, hari ini.
Ditanya jika persoalan itu timbul selepas Naib Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu menyatakan Muhyiddin paling layak mengetuai PN untuk PRU16, Saifuddin menjelaskan ia pandangan peribadi bekas menteri besar Perak itu.
"Saya rasa itu pandangan beliau secara peribadi... saya pun terkejut apabila berita itu keluar, pada saya cerita itu tak perlu timbul sama sekali... tak patut dan tak perlu timbul pun," ujarnya.
Ahmad Faizal ketika wawancara bersama Malaysiakini pada Selasa lalu menegaskan PN tetap akan menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri mereka pada pilihan raya umum akan datang.
Dia berkata perkara itu disepakati semua parti gabungan dalam PN sebelum ini dan pendirian tersebut dikekalkan.
Katanya, memandangkan Muhyiddin pengerusi PN maka tidak timbul isu ada nama lain perlu ditonjolkan dan ditawarkan kepada para pengundi.
Bagaimanapun, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin menafikan nama Muhyiddin dicadangkan sebagai calon perdana menteri PN untuk PRU16.
Berdasarkan laporan Utusan Malaysia hari ini, Hashim (gambar bawah) memaklumkan belum ada sebarang keputusan dalam gabungan PN bagi menentukan perkara berkenaan.
Dalam perkembangan berasingan, Saifuddin yang juga bekas menteri luar menegaskan PN dan Bersatu tidak pernah menyokong penyelesaian dua negara dalam isu Palestin-Israel.
Jelasnya, PN tetap komited terhadap pembebasan sepenuhnya Palestin dan memberi sokongan penuh kepada gerakan Hamas.
Zaman Dr M sokong, sekarang tak logik
"Namun dalam hal 'two state solutions' pendirian PN dan Bersatu adalah jelas bahawa kita tidak pernah menyokong penyelesaian seperti itu.
"Ketika kali pertama saya dilantik sebagai menteri luar, ketika Dr Mahathir Mohamad perdana menteri, kita sokong 'two state solutions' tapi ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob, secara tegas kita mencadangkan agar penyelesaian dua negara itu dikaji semula.
"Susulan perkembangan terkini selepas 7 Oktober tahun lalu, PN dan Bersatu berpandangan 'two state solutions' adalah perkara yang tidak logik untuk menyelesaikan konflik di sana," katanya.