Kerajaan tidak akan mencampuri siasatan Suruhanjaya pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan skandal rasuah melibatkan beberapa Adun Sabah.
“Perdana menteri telah menjawab dalam sidang Parlimen semalam menyentuh tentang hal ini.
“Siasatan oleh pihak SPRM berjalan dan perdana menteri tidak menghalang SPRM daripada melakukan siasatan penuh dan kita serahkan kepada SPRM,” kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Dia ditanya sama ada kerajaan menyokong saranan supaya penerima lesen penerokaan (PL) mineral di Sabah didedahkan.
Dia juga ditanya sama ada kerajaan melihat terdapat unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam isu terbabit.
Awal bulan ini, Malaysiakini menyiarkan beberapa siri pendedahan mengenai dakwaan skandal rasuah yang didakwa membabitkan wakil negeri Sabah.
Siri itu berdasarkan lapan rakaman video yang dari pemberi maklumat, yang memaparkan perbincangannya dengan beberapa menteri dan Adun Sabah berkaitan pemberian ratusan ribu ringgit untuk mendapatkan kuota pelombongan mineral.
Pemberi maklumat itu, yang mengaku memberi rasuah, bersedia berkongsi bahan bukti dengan SPRM dengan syarat mendapat perlindungan bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menafikan sebarang salah laku dan mahu ahli perniagaan itu disiasat terlebih dulu.
Anwar dalam parlimen semalam menegaskan bahawa tidak akan ada perlindungan dalam siasatan SPRM terhadap dakwaan skandal rasuah melibatkan beberapa Adun Sabah.