Kerajaan menerima baik penilaian yang diberikan Bersih terhadap pentadbiran pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, meski kumpulan pendesak reformasi itu memberikan gred D bagi penilaian pertengahan penggal kerajaan Madani.
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata berdasarkan indikasi yang diberikan itu kerajaan akan berusaha meningkatkan mutu perkhidmatannya.
“Ini termasuk reformasi institusi dalam kerajaan. InsyaAllah dalam tempoh berbaki beberapa hari lagi sidang Parlimen kali ini, yang berhormat, (menteri undang-undang dan reformasi institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said akan membawa beberapa Rang Undang-undang (RUU) yang akan mencerminkan usaha dan ikhtiar kerajaan untuk mereformasi atau menambah baik institusi kerajaan.
“Berkemungkinan juga sejumlah RUU akan dibawa ke mesyuarat pertama sidang Dewan Rakyat penggal depan yang akan dijadual bermula sekitar Februari,” katanya dalam sidang media di Kementerian Komunikasi di Putrajaya, hari ini.
Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata ini termasuk RUU Majlis Media Malaysia.
“Jadi banyak daripada RUU yang sedang direncana dan dirancang, sedang dalam proses termasuk bagi Kementerian Komunikasi.
“Contohnya RUU Majlis Media Malaysia, yang sedang dalam proses akhir sebelum kita bawa ke Parlimen. Tapi kita harap bacaan pertama dalam sidang kali ini dan ini adalah komitmen kerajaan untuk menambah baik termasuk ekosistem bagi para pengamal media,” katanya.
Dalam pembentangan yang menurut Bersih sebagai kad laporan kerajaan sebelum ini, ia turut meletakkan Anwar di belakang pendahulunya Ismail Sabri Yaakob dan Dr Mahathir Mohamad dalam menunaikan janji reformasi.
Pengerusi Bersih, Faisal Aziz berkata penilaian mereka berhubung dua tahun pertama kerajaan mendapati terdapat jurang yang ketara antara janji reformasi dan pelaksanaan sebenar.
Penilaian itu, yang menggabungkan dua bahagian - menunaikan komitmen manifesto dan perbandingan dengan pentadbiran terdahulu - kembali dengan kerajaan Madani mencatatkan jumlah 45.8 peratus, katanya.
Bagaimanapun, Anwar sebelum ini menyatakan keyakinan penilaian pertengahan penggal oleh Bersih akan bertambah baik pada masa akan datang.
“Tentang (penarafan) Bersih, tak apalah beri (kita gred) D, bukan F.
“(Kalau) UPSR D, (nanti) SPM esok naik A lah,” katanya.