Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bantah KPM jumpa Taliban: Lim kesal laporan tak adil
Diterbitkan:  Nov 22, 2024 5:41 PM
Dikemaskini: 9:42 AM

Pengerusi DAP Lim Guan Eng mendakwa beberapa media gagal melaporkan dengan adil mengenai bantahannya terhadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menerima kunjungan delegasi kerajaan Taliban dari Afghanistan.

Tanpa menyebut nama, dia berkata "media cetak tertentu" gagal melaporkan sebab utama bantahannya .

"Hakikatnya, kerajaan Afghanistan pimpinan Taliban merupakan satu-satunya negara di dunia yang mengenakan sekatan penuh terhadap pelajar perempuan belajar di sekolah menengah dan juga universiti.

"Media cetak tertentu telahpun gagal melaporkan bahawa bantahan utama saya terhadap lawatan awal bulan ini oleh suatu rombongan Kementerian Pendidikan kerajaan Afghanistan pimpinan Taliban, ialah sekatan penuh terhadap remaja perempuan belajar di sekolah menengah dan juga universiti di dalam Afghanistan.

"Media cetak tersebut tidak harus terbawa-bawa oleh sentimen dan bersikap adil dengan melaporkan bahawa bantahan saya ini berteraskan realiti hak asasi wanita di Afghanistan yang telahpun dinafikan," katanya padasatu kenyataan hari ini.

Tegas Lim, tindakan kerajaan Taliban mengharamkan wanita mendapat pendidikan telah dikecam oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai 'apartheid jantina'.

"Saya lihat sekatan pendidikan ke atas wanita Afghanistan ini juga tidak dibantah oleh pihak pembangkang PN.

"Seharusnya wanita berhak mendapat peluang pendidikan tanpa sekatan agar dapat merealisasikan potensi mereka sepenuhnya," katanya.

Awal bulan ini, Fadhlina menerima kunjungan delegasi yang diketuai oleh Pengarah Pengarah Kementerian Pendidikan Afghanistan, Shahabuddin Saqib.

Lim menyoal Fadhlina mengenai pertemuan tersebut kerana Afghanistan tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia, selain dasar Afghanistan terhadap pendidikan wanita.

Antara lain, dia bertanya kepada Fadhlina adakah dia ada membincangkan pengharaman tersebut semasa perbincangan mereka.

Sebagai jawapan, Fadhlina mempertahankan pertemuan tersebut sebagai peluang untuk mempamerkan sistem pendidikan Malaysia dan meyakinkan delegasi Taliban bahawa pendidikan wanita tidak bertentangan dengan Islam malah selaras ajaran Islam.

Mengulas hal ini, Lim berharap usaha Fadhlina dan pihak lain dalam kerajaan perpaduan berhubung dengan kerajaan Afghanistan bagi meyakinkan mereka memansuhkan sekatan terhadap pendidikan wanita akan membuahkan hasil.

"(Namun) sekiranya usaha ini gagal, maka pihak Kementerian Pendidikan Malaysia tidak harus melayan Kementerian Pendidikan Afghanistan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS