Kumpulan Advokasi Keselamatan Dalam Talian (Osag) menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Talian dan pindaan kepada Kanun Keseksaan yang bertujuan untuk memerangi buli siber.
Meski mengalu-alukan usaha untuk menangani kemudaratan dalam talian, kumpulan itu mengingatkan bahawa undang-undang berkenaan mesti mengimbangi keperluan untuk perlindungan hak asasi untuk kebebasan bersuara.
Dalam memorandum kepada Bahagian Hal-Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini, Osag menggariskan kebimbangannya tentang pendekatan kerajaan untuk mengawal selia keselamatan dalam talian.
Kumpulan itu menekankan keperluan untuk proses yang teliti dan inklusif yang mengambil kira suara semua pihak berkepentingan utama, terutamanya mereka yang mewakili kanak-kanak, wanita dan orang kurang upaya.
"Kami juga sedang menunggu untuk menerima dan memberikan perundingan mengenai versi akhir rang undang-undang pindaan kerajaan sebelum ia dibentangkan di Parlimen," katanya.
Osag berhujah bahawa proses kerajaan merangka Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Talian dan pindaan buli siber telah disegerakan, menyebabkan kumpulan utama kurang diwakili.
Sebelum ini, kerajaan menyatakan bahawa Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Talian dan pindaan Kanun Keseksaan bertujuan membendung kegiatan jenayah di media sosial dan bukannya menyekat kebebasan bersuara.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menjelaskan pihaknya juga akan memastikan pengendali platform media sosial lebih proaktif dalam membendung kegiatan jenayah di platform masing-masing bagi mengelak daripada berdepan tindakan.
Sementara itu, Osag menyeru penangguhan pengenalan perundangan sehingga proses perundingan yang lebih komprehensif dijalankan, memastikan undang-undang itu mencerminkan keperluan dan kebimbangan semua pihak yang terjejas.
"Kepentingan menangani keselamatan dalam talian tidak boleh mewajarkan memintas proses perundingan yang menyeluruh dan inklusif," kata memorandum itu.
“Hanya melalui pendekatan inklusif kerajaan boleh memastikan bahawa undang-undang secara berkesan menangani keperluan sebenar semua pihak yang terjejas sambil mengimbangi dan melindungi hak asasi kita," katanya.
Salah satu kebimbangan utama Osag ialah kekurangan ketelusan berhubung skop penuh agenda perundangan kerajaan mengenai bahaya dalam talian.
Kumpulan itu berkata ia belum dimaklumkan mengenai undang-undang lain yang kerajaan rancang untu pinda atau perkenalkan, yang menimbulkan kebimbangan mengenai risiko peraturan bertindih atau bercanggah.
“Pihak berkepentingan mesti dimaklumkan tentang semua perundangan dan peraturan yang kerajaan mahu gubal,” tegas Osag sambil menekankan keperluan untuk pemahaman yang jelas tentang bagaimana undang-undang yang berbeza akan bersilang dan memberi kesan kepada orang ramai.