Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kasih sayang ayah, keberanian anak sentuh hati profesor

Di sebalik politik, kisah kasih sayang, pengorbanan dan keberanian menarik hati Tajuddin Mohd Rasdi sebagai seorang bapa dan ahli akademik.

“Sungguh luar biasa,” kata profesor seni bina itu apabila Malaysiakini menarik perhatiannya terhadap artikel mengenai bekas buruh binaan Ayub Abdul Ghani, 61 dan anaknya Dr Mohammad Zulkifli, 27.

Semakin bosan berdepan ahli politik yang mengeksploitasi kaum dan agama untuk menyemai perpecahan demi kepentingan peribadi, Tajuddin berkata dia ingin berkongsi idea tentang sesuatu yang positif untuk perubahan.

"Sesuatu yang memberi saya harapan, sesuatu yang mengingatkan saya tidak semuanya hilang," katanya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Ayub menderma buah pinggangnya untuk menyelamatkan anaknya, yang menghadapi kegagalan buah pinggang tahap lima pada tahun 2020.

Zulkifli pula berjaya menamatkan pengajiannya sebagai doktor walaupun ke sana ke mari dengan wayar Internal Jugular Catheter (IJC) di lehernya.

Teladan

Sebagai seorang ahli akademik, Tajuddin memuji kesungguhan doktor itu sambil berkata Zulkifli merupakan contoh teladan kepada semua pelajar Malaysia.

“Tiada kata-kata untuk menyatakan pujian saya atas kesungguhan dan keberaniannya untuk melanjutkan pelajaran walaupun menghadapi cabaran kesihatan yang begitu serius.

“Ini adalah naluri primitif untuk terus hidup dan juga pertumbuhan rohani dan kekuatan. Dalam dunia kita yang penuh ketamakan, kemahuan dan kesombongan, kekuatan itu merupakan nilai-nilai yang mewakili kunci kejayaan dalam dunia material dan dunia lain.

"Kepercayaan, harapan dan bantuan mencirikan kehidupan sebenar dan bukannya populisme dan idea melampau yang memusnahkan masyarakat," katanya.

Tajuddin juga memuji si bapa, selepas Zulkifli mendedahkan ayahnya berhenti merokok selepas empat dekad untuk memastikan pemindahan buah pinggang berjalan lancar.

“Betul kata doktor itu. Bapanya seorang wira,” kata ahli akademik itu.

“Sebagai seorang bapa, saya juga akan memberikan kedua-dua buah pinggang saya jika ia dapat menyelamatkan anak-anak saya. Saya telah menjalani hidup saya dan saya rasa golongan muda berhak mendapat semua yang sepatutnya mereka miliki,” tambahnya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS