Presiden Gerakan, Dominic Lau menjelaskan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin calon gabungan tersebut untuk jawatan Perdana Menteri.
Katanya bekas perdana menteri itu mempunyai pengalaman, ciri kepimpinan dan sokongan dari gabungan tersebut.
"Tak perlu kita mempersoalkan keadaan semasa ini.
"Beliau mempunyai pengalaman, kepimpinan dan sokongan PN. Beliau juga seorang yang mengutamakan pendekatan bersama, keserdahanaan dan amat sesuai sebagai ‘poster boy’ PN," katanya pada satu kenyataan.
Lau mengulas Mursyidul Am PAS Hashim Jasin (gambar atas) yang menyatakan parti itu lebih layak untuk mengetuai gabungan PN.
"Saya juga tidak bersetuju dengan kenyataan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin yang kata; kelayakan untuk jadi PM adalah jumlah kerusi Dewan Rakyat dan kekuatan jentera akar umbi.
"Hakikatnya, kita memerlukan 112 kerusi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan, bukan 43 atau 50 kerusi," kata Lau lagi.
PAS mempunyai bilangan kerusi terbanyak dalam PN, diikuti oleh Bersatu di tempat kedua yang jauh ketinggalan manakala Gerakan tidak mempunyai sebarang kerusi.
Lau (gambar atas) berkata semua pihak dalam PN bebas untuk memberikan pandangan dan pendapat mereka namun keputusan akhir terletak pada majlis tertinggi gabungan itu.
Kata Lau jika keputusan dibuat hanya berdasarkan jumlah kerusi parlimen maka DAP sudah tentu telah mencalonkan seseorang untuk jawatan perdana menteri.
"Kita perlukan gabungan, sebuah perikatan dan kerjasama dalam mendapatkan angka 112 ahli dewan rakyat.
"Adalah baik untuk kita berfikir bagaimana untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, merangka strategi menentang lawan politik kita, dan bergerak ke hadapan sebagai sebuah Perikatan," kata Lau lagi.