Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersetuju menambah baik prosedur operasi standard (SOP) bagi menghantar pulang individu yang melakukan kesalahan imigresen, kata Ahli Parlimen Subang Jaya Wong Chen.
Ini selepas parlimen mendengar kes membabitkan pembantu rumah warga Kemboja, Nuon Toeun, yang ditahan dan dihantar pulang oleh Jabatan Imigresen berikutan permintaan negara itu bulan lepas.
Nuon dikehendaki kerajaan Kemboja selepas dia didakwa menyiarkan komen mengkritik pemimpin negara itu di media sosial.
Wong memberitahu pemberita pagi ini bahawa versi rasmi yang diberikan oleh pegawai Imigresen semasa pendengaran bersama, yang diadakan oleh dua Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC), ialah Nuon telah dihantar pulang kerana melanggar undang-undang imigresen negara itu.
Ini, katanya, berlaku apabila kerajaan Kemboja membatalkan pasportnya yang secara automatik menjejaskan permit kerjan Nuon di sini dan menyebabkan dia tinggal di Malaysia secara haram.
"Tetapi, latar belakang kepada ini ialah, Jabatan Imigresen telah menerima nota diplomatik daripada kerajaan Kemboja meminta mereka menghantar Nuon kembali," kata wakil rakyat PKR itu dalam sesi taklimat media anjuran kumpulan hak migran Inisiatif Utara-Selatan (NSI) dan Altsean Burma.
Wong berkata pekerja asing itu dilaporkan dihantar pulang ke Kemboja dalam tempoh dua hari selepas dia diambil oleh pihak imigresen tanpa diberi akses kepada peguam dan proses keadilan.
"Kita tak boleh putar balik masa. Kita tahu dia telah ditangkap dan dikurung di pusat tahanan di Kemboja.
“Tetapi kita kena buat sesuatu di sini. SOP yang digunakan kerajaan dalam menangani perkara ini mesti dikaji semula bagi membolehkan keadilan semulajadi.
“Berita baik daripada cerita buruk ini ialah kini Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri telah bersetuju dengan kami bahawa beberapa elemen keadilan semula jadi mesti ada.
“Justeru, kami bersetuju untuk bekerjasama,” katanya.
Untuk rekod, dua jawatankuasa yang mengadakan pendengaran bersama kes Nuon ialah Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Selayang William Leong, dan Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan dan Perdagangan Antarabangsa yang dipengerusikan oleh Wong.
Ia berlangsung pada 12 Nov. lalu. Turut terlibat ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid, yang mempengerusikan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia - Polisi Pelarian.
Menurut Wong, jawatankuasa itu sedang merangka cadangan mereka untuk menambah baik SOP untuk pihak imigresen manakala kerajaan juga sedang mengambil langkah serupa.