Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kejam, hukum duda disebat di khalayak ramai - Sisters In Islam
Diterbitkan:  Nov 22, 2024 2:17 PM
Dikemaskini: 6:28 AM

Tanpa berselindung, NGO Sisters In Islam (SIS) menyifatkan hukuman sebat di depan orang ramai yang dijadualkan ke atas Affendi Awang di Terengganu sebagai satu tindakan "kejam".

“Apa yang telah terjadi kepada negara kita? Bagaimana kita sampai ke titik kekejaman dipuji atas nama ‘moraliti’?

“Adakah kita begitu terdesak untuk menegakkan pandangan ini sehingga kita meninggalkan asas peradaban dan rasa hormat terhadap kemanusiaan? Ini ketidakadilan besar yang tanpa ragu memerlukan kutukan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

SIS mengulas laporan Malaysiakini pada Rabu mengenai duda berusia 42 tahun itu akan menjadi pesalah pertama yang dihukum sebat di tempat awam di sebuah masjid di Terengganu setelah ditangkap tiga kali dicekup berkhalwat bersama seorang wanita.

Pesalah tersebut akan menerima enam sebatan rotan selepas solat Jumaat pada 6 Disember depan. Hukuman tersebut akan dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu.

Tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Terengganu) Pindaan 2022.

SIS turut mengkritik pemilihan masjid sebagai tempat untuk melaksanakan hukuman itu, dengan menyatakan masjid tempat ibadah.

“Untuk menggunakan rumah ibadah bagi tindakan yang merendahkan martabat manusia merupakan pelanggaran yang amat mendalam terhadap kesucian masjid itu.

Gambar hiasan.

"Ini bukanlah keadilan. Ia satu pertunjukan yang memalukan yang merampas maruah individu di hadapan khalayak.

“Ia satu tindakan ganas yang bertujuan untuk memalukan, bukan untuk mendidik,” tambah NGO itu.

SIS juga menolak alasan hukuman itu akan berfungsi sebagai bentuk “pendidikan."

“Ia tidak lebih daripada satu taktik untuk merendahkan martabat individu dan satu tontonan seram bagi penonton.

Ihsan, rahmah

“Ini bertentangan dengan prinsip asas Islam yang menekankan keadilan, belas ihsan, rahmah dan pemeliharaan maruah manusia,” katanya lagi.

Selain itu, SIS berhujah keputusan Mahkamah Syariah Terengganu juga melanggar Artikel 5 Pengisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia.

“Kenyataan ini cukup jelas—Malaysia, yang kini menjadi anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB (2022-2024), gagal untuk menegakkan prinsip-prinsip yang dijanjikan untuk dilindungi.

“Dengan membenarkan tindakan seperti ini, kerajaan Persekutuan nampaknya telah mengabaikan tanggungjawab asas mereka untuk menjaga hak asasi dan maruah manusi,” tambah SIS.

SIS memberi amaran bahawa hukuman seperti sebatan di khalayak awam tidak mempromosikan keadilan atau nilai moral, sebaliknya mewakili satu perubahan yang berbahaya menuju ekstrimisme, dengan hukuman melangkaui prinsip belas ihsan dan keadilan.

“Kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa negeri perlu bertindak segera untuk menghentikan semua bentuk hukuman deraan fizikal, termasuk rotan di hadapan khalayak ramai.

“Malaysia perlu membuat keputusan untuk masa depannya. Marilah kita memilih jalan yang berlandaskan keadilan, belas ihsan dan kemajuan.

"Bukan kekerasan, rasa aib dan kemunduran. Masa untuk bertindak sekarang sebelum kerosakan menjadi tidak dapat diperbaiki,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS