Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata dia menghadapi dua tuduhan oleh Lembaga Dispilin PKR semalam berhubung tulisan di media sosial bertarikh 5 Nov lalu, yang kemudian dipetik pihak media.
Salah satunya, kata ahli veteran PKR itu, ialah tulisan yang didakwa menyentuh pemilikan saham Yang di-Pertuan Agong dalam pengendali rangkai 5G kedua negara, U-Mobile.
“Tuduhan pertama ialah saya mengkritik PMX (perdana menteri Anwar Ibrahim) kerana meneruskan amalan kroni kapitalisme dalam penganugerahan rangkaian kedua 5G kepada syarikat U-Mobile.
"Dengan itu saya telah memburukkan imej parti yang merupakan satu kesalahan disiplin dalam perlembagaan PKR.
“Tuduhan kedua ialah saya telah menyentuh Raja-raja Melayu apabila dalam tulisan saya telah mengaitkan institusi Yang Di-Pertuan Agong yang memiliki saham kedua terbesar dalam U-Mobile yang saya nyatakan dalam tulisan saya bahawa Perkara 34(3) Perlembagaan Persekutuan bahawa Yang Di-Pertuan Agong dilarang terlibat secara aktif di dalam perniagaan komersial walaupun saya tidak menyebut nama Yang Di-Pertuan Agung atau menyebut perkataan Yang Di-Pertuan Agong,” katanya kepada Malaysiakini.
Hassan berkata demikian mengulas pertemuan dengan Lembaga Disiplin PKR semalam.
Semalam, Malaysiakini melaporkan Hassan dituduh mencemarkan imej parti, mengaibkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dan mengkritik kerajaan kerana "menyokong kapitalis kroni".
Sultan Ibrahim adalah pemegang saham kedua terbesar dalam U Mobile.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, berkata, tindakan disiplin diambil terhadap Hassan susulan aduan yang diterima parti daripada beberapa ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Mengulas lanjut, Hassan berkata dia disiasat selama sejam setengah oleh enam anggota Lembaga Disiplin PKR.
Selepas itu, kata Hassan, Lembaga Disiplin PKR akan membuat pendengaran hasil perbicaraan terbabit kepada Biro Politik PKR dan diserahkan kepada MPP PKR yang dipengerusikan presiden parti, Anwar Ibrahim bagi menentukan nasibnya yang dijangka berlangsung pada 24 November ini.
Tambah Hassan dia juga berdepan tindakan diberi amaran keras, digantung keahlian parti atau dibuang dari parti.
Diminta mengulas lanjut tindakan yang bakal dikenakan terhadapnya, Hassan berkata belum masanya untuk dia menjawab.
Awal bulan ini, Hassan menerusi satu kenyataan di media sosial yang turut disiarkan oleh Malaysiakini mendakwa kerajaan hari ini mulai terjebak dengan kesilapan membina kapitalis kroni.
“Kapitalis kroni di zaman PM Anwar Ibrahim agak luar biasa. Golongan ini tidak ramai tetapi amat menonjol.
“Golongan ini agak kebal dan tidak mudah disentuh kerana dilindungi oleh momokan undang-undang yang bernama 3R (Agama, kaum dan raja),” katanya.