Pembangkang menyatakan kebimbangan terhadap tajaan besar pihak swasta terhadap lawatan rasmi Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke lima negara.
Mereka bimbang jika terdapat balasan perlu diberikan kepada penaja-penaja itu.
“Pengakuan perdana menteri di parlimen semalam juga mencetuskan tanda tanya dan keresahan awam sama ada bantuan kepada perdana menteri atau kerajaan adalah timbal balik kepada syarikat-syarikat tersebut di atas kesanggupan mereka menanggung kos lawatan rasmi perdana menteri bersama delegasi dan keluarga,” kata Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham.
Dalam kenyataan hari ini, Hilman percaya SPRM boleh menyiasat perkara itu, yang disamakannya dengan kes rasuah bekas menteri pengangkutan Singapura S Iswaran.
Iswaran dihukum penjara setahun susulan menerima pelbagai hadiah mahal seperti tiket perlawanan bola sepak Liga Inggeris, Formula 1 Grand Prix, tiket persembahan teater muzikal di London serta tajaan jet peribadi.
Semalam, Anwar memberitahu Dewan Rakyat, kira-kira 70 hingga 80 peratus kos melibatkan perjalanannya ke luar negara baru-baru ini ditanggung oleh syarikat swasta yang mengikuti urusan itu.
Katanya, syarikat itu antaraya Petronas, Sapura Energy, Yinson, Proton dan syarikat semikonduktor yang tidak dinamakan.
Anwar berkata, syarikat yang membantu membiayai kos perjalanannya mempunyai kepentingan perniagaan dan pelaburan di negara ini.
Sementara itu, Parti Pejuang Tanah Air pula mengingatkan bahawa tiada apa yang benar-benar percuma dalam dunia ini.
“Persoalan yang timbul dan wajar ditanya oleh rakyat adalah: Apa yang syarikat-syarikat ini akan peroleh?
“There is no such thing as a free lunch!” kata ketua penerangannya Rafique Rashid.
Pejuang juga mahu tahu kos sebenar perbelanjaan itu sama ada melibatkan tiket penerbangan saja atau termasuk hotel, penginapan dan makan minum?
“Adakah belanja ini hanya kepada perdana menteri atau jemaah rombongannya?
“Bagaimana pula dengan pegawai-pegawai awam, staf-staf pejabat perdana menteri, petugas-petugas keselamatan dan protokol?” soalnya,
Pejuang juga mendakwa tindakan itu melanggar pekeliling Perbendaharaan pada Disember 2022, bahawa tiada lagi pembiayaan syarikat swasta bagi lawatan ke luar negara berkaitan perolehan kerajaan.
Selain isu tajaan, penglibatan anak perdana menteri Nurul Izzah dalam lawatan itu turut dipersoal pembangkang.
Bercakap kepada Malaysiakini, anggota parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bertanya sama ada keberadaan Nurul Izzah yang mewakili NGO dalam lawatan itu ditanggung kerajaan atau sebaliknya.