Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun bimbang penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mewajibkan pemilik perniagaan mempamerkan papan tanda berbahasa Melayu mengikut peraturan papan tanda komersial.
Katanya tindakan keras itu sebagai terlalu tergesa-gesa dan mengganggu, terutama di bandar berbilang budaya dan antarabangsa seperti Kuala Lumpur.
Menurutnya penguatkuasaan yang berlebihan terhadap dasar ini bukan sahaja mengganggu perniagaan tetapi juga boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi bandar, khususnya sektor pelancongannya.
Fong (gambar bawah) berkata Kuala Lumpur, sebagai ibu negara Malaysia, merupakan destinasi utama bagi pelancong dari China, Eropah, Timur Tengah dan wilayah lain.
“Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan budaya, Malaysia harus menghargai dan menerima kepelbagaian budaya dan bahasa.
"Membenarkan perniagaan menggunakan papan tanda berbilang bahasa di Kuala Lumpur bukan sahaja memenuhi keperluan pelancong dari pelbagai negara tetapi juga menyerlahkan daya tarikan unik bandar itu sebagai metropolis antarabangsa," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Papan tanda, tradisi berabad-abad
Kata Fong lagi Kuala Lumpur menjadi rumah kepada banyak tradisi papan tanda yang ikonik dan berusia selama berabad-abad.
"Tanda tradisional ini bukan sahaja pengecam komersial tetapi juga simbol warisan sejarah dan budaya bandar itu," jelasnya.
Fong berkata untuk menghormati status rasmi bahasa Melayu sambil mengekalkan kekayaan budaya Kuala Lumpur, maka DBKL perlu menggunakan pendekatan yang lebih fleksibel.
Dia mencadangkan perniagaan yang sudah lama bertapak harus dibenarkan mengekalkan papan tanda asal mereka sambil menambah papan tanda bahasa Melayu, sekali gus mengimbangi tradisi budaya dengan keperluan moden.
Hormat bahasa Melayu
Fong menggesa DBKL menghentikan tindakan penguatkuasaan yang keterlaluan buat sementara waktu dan mencadangkan untuk melibatkan semua ahli parlimen Kuala Lumpur membincangkan penyelesaian yang lebih baik.
Katanya penghormatan terhadap bahasa Melayu mesti diangkat sambil menjaga mata pencarian perniagaan dan imej antarabangsa Kuala Lumpur.
Fong percaya komunikasi dan perundingan yang berkesan boleh membawa kepada penyelesaian menang-menang yang mengekalkan maruah bahasa kebangsaan, melindungi kebebasan pemilik perniagaan dan menyokong pembangunan berterusan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya global.
Fong menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan kepelbagaian bandar dan pertumbuhan ekonomi dalam melaksanakan dasar.
Dia menggesa pendekatan yang rasional terhadap isu ini dan penyelesaian yang lebih munasabah dan boleh dilaksanakan untuk menyokong kedua-dua Kuala Lumpur dan komuniti perniagaannya.
Tercetus akibat kenyataan Mahathir?
China Press pada laporan semalammenyoal sama ada komen bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai papan tanda bahasa Cina mencetuskan tindakan DBKL untuk melakukan tindakan keras secara besar-besaran terhadap apa yang disebut "papan tanda haram".
Dilaporkan DBKL semalam melancarkan operasi besar-besaran menyasarkan papan tanda haram di pelbagai kawasan, termasuk Segambut, Pudu, dan Jalan Silang di pusat bandar.
Sehingga semalam, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai butiran operasi berkenaan.
Operasi itu melibatkan pasukan penguatkuasa dan pelesenan DBKL, bersama pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan polis.
Pemilik perniagaan telah dimaklumkan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan penyingkiran diambil, kata laporan itu.
Bagaimanapun, China Press memetik ahli lembaga penasihat DBKL Andre Lai Chen Heng, yang menjelaskan operasi itu telah diatur terlebih dahulu dan tidak dipengaruhi oleh kenyataan yang dibuat oleh mana-mana tokoh politik.
Dia menegaskan operasi itu menyasarkan semua papan tanda haram, bukan hanya papan tanda bahasa Cina.
“Operasi itu turut melibatkan pengalihan struktur haram di samping papan tanda haram,” katanya.
Pada Isnin, Mahathir mengkritik semua papan tanda di kompleks membeli-belah adalah dalam bahasa Cina dengan terjemahan Inggeris, tetapi tiada dalam bahasa Melayu.