Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mencuri seutas rantai leher dan seutas rantai tangan milik seorang wanita yang meninggal dunia dalam sebuah kereta, bulan lepas.
Lans Koperal Mohd Alifah Mohd Sapie, 35, didakwa mencuri seutas rantai leher dan seutas rantai tangan milik seorang wanita berusia 26 tahun di dalam sebuah kereta di tepi jalan Prima Setapak, Wangsa Maju di Kuala Lumpur pada 2.40 pagi, 1 Okt lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Vivi' Asnita Zaina' larifin tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana kesalahan ini tidak boleh dijamin namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mohon jaminan yang tinggi dikenakan kepada tertuduh.
Peguam R Lavinia yang mewakili tertuduh pula memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga termasuk isteri dan lima anak.
Majistret MS Arunjothy kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jan depan untuk sebutan kes.
Media sebelum ini melaporkan bapa wanita itu yang merupakan bekas pegawai kanan polis berusia 59 tahun membuat laporan polis selepas mendapati barang kemas dipakai anak perempuannya ketika meninggal dunia, didapati hilang.
- Bernama