Sebagai seorang anak muda yang belajar cara membuat filem pendek di sebuah kolej tidak bertauliah, saya tidak pernah membayangkan diri saya akan bergelar wartawan.
Setiap kali saudara mara mencadangkan kerjaya dalam kewartawanan, saya akan menolak mentah-mentah idea tersebut.
Namun, hidup penuh dengan ironi. Kini, sukar untuk saya membayangkan jika saya bekerja dalam bidang lain selain kewartawanan. Malah, lebih mustahil lagi untuk membayangkan saya bekerja di tempat lain selain daripada Malaysiakini.
Seperti ungkapan yang sering digunakan oleh anak muda masa kini, Malaysiakini adalah “ride or die” saya.
Saya memulakan kerjaya kewartawanan di sebuah organisasi media yang dikawal kerajaan.
Salah satu peristiwa besar yang berlaku ketika saya bekerja di situ adalah perhimpunan Bersih 2.
Ketika itu, saya bertugas menyunting video. Saya masih ingat dengan jelas bagaimana kami diarahkan oleh menteri supaya tidak menyiarkan visual polis menyembur peserta perhimpunan
Namun saya hanya diberitahu tentang arahan tersebut selepas video yang saya sunting telah disiarkan. Oops.
Nasib baik, siaran itu tidak mendapat banyak tontonan, jadi “kesilapan” saya tidak disedari ramai.
Namun, insiden itu meninggalkan kesan mendalam kepada saya.
Selain “wahyu dari atas” visual keganasan polis yang jarang-jarang saya perolehi itu membuka mata saya tentang kuasa kritikal kewartawanan terhadap kerajaan.
Pada tahun 2014, ketika berusia 25 tahun, saya menyertai Malaysiakini sebagai wartawan. Ia adalah satu titik perubahan yang membuka mata saya.
Bekerja di Malaysiakini membuka peluang untuk melaporkan berita tanpa sekatan atau tekanan daripada pihak atasan. Saya bebas menyoal kuasa tanpa gentar, tidak kira siapa yang memegang tampuk pemerintahan.
Pendorong utama
Kebebasan sedemikian dan semangat untuk mengkritik secara objektif adalah pendorong utama bagi warga Malaysiakini.
Sebagai contoh, ketika kebanyakan media tempatan menutup mata terhadap skandal 1MDB, Malaysiakini terus menerbitkan pendedahan demi pendedahan.
Malah, rakan-rakan wartawan dari organisasi lain sering menyatakan hasrat mereka untuk menghasilkan laporan yang serupa.
Jadi apabila saya menerima tawaran untuk menyertai organisasi media lain, keputusan untuk menolak tawaran tersebut adalah mudah, walaupun gaji yang lebih tinggi ditawarkan.
Bagi saya, bekerja di Malaysiakini bermakna kebebasan – kebebasan yang tidak boleh dijual beli.
Selepas Pilihan Raya Umum 2018, walaupun terdapat sedikit kelonggaran dalam kawalan media, kebebasan seperti yang dinikmati di Malaysiakini tetap jarang ditemui.
Sebagai contoh, dalam kes Ong Ing Keong, kebanyakan media lain hanya melaporkan isu tersebut apabila terdapat kenyataan daripada pihak berkuasa.
Sebaliknya, Malaysiakini terus berada di barisan hadapan, menuntut keadilan untuk Ong.
Ancaman terhadap kebebasan media
Namun, ancaman terhadap kebebasan media tidak hanya datang daripada tekanan politik.
Perubahan corak pembacaan berita, penurunan hasil iklan, dan dominasi algoritma media sosial turut menjejaskan kestabilan industri ini.
Malaysiakini kini sedang menjalani penstrukturan semula untuk memastikan kelestariannya.
Melalui cabaran ini, Malaysiakini akan terus menyesuaikan diri, berkembang, dan menentang kuasa dengan penuh semangat.
Saya yakin, selama masih ada ruang untuk mempertahankan kebenaran, Malaysiakini akan terus wujud dan berfungsi sebagai suara bebas yang kritikal.
Namun, jika satu hari nanti Malaysiakini tidak lagi ada, pastinya ia tidak akan diganti dengan yang sepertinya.
Hubungi +60 17-323 0707 untuk jadi pelanggan seumur hidup Malaysiakini atau langgani pakej tahun kami sekarang dan jimat 25%. Anda juga boleh menghadiahkan langganan kepada keluarga atau kawan. Selain itu, anda juga boleh memberi sumbangan di sini.