Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, dianggap sebagai "suara dan jiwa reformasi" yang masih tinggal dalam PKR, kata Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan.
Arutchelvan berkata satu-satunya kesalahan yang dilakukan Hassan adalah kerana dia berpegang kepada prinsip dan mempertahankan pendiriannya.
“Apabila ramai dalam gerakan reformasi memilih untuk berdiam diri atau menjadi 'yes men' kepada elit yang memerintah, Hassan telah menjadi suara hati semangat reformasi 1998,” katanya kepada Malaysiakini.
Arutchelvan mengulas tindakan PKR mengheret Hassan ke lembaga disiplin berhubung kritikannya mengenai keputusan kerajaan melantik U Mobile yang dikaitkan dengan kerabat diraja sebagai pengendali rangkaian 5G kedua.
Menggambarkan langkah tersebut sebagai "menggerunkan", Arutchelvan berharap keadilan akan ditegakkan dan tuduhan terhadap Hassan akan digugurkan.
Dia menegaskan ketika ramai yang dipecat dari parti politik kerana melompat parti, serta kesalahan jenayah dan rasuah, satu-satunya kesalahan Hassan adalah kerana kejujurannya dan kebenaran yang disampaikannya.
“Hassan adalah suara bagi ramai orang, tetapi semakin terasing dalam partinya sendiri, yang semakin jauh dari agenda reformasi asalnya.
“Mendiamkan Hassan bermakna mendiamkan suara hati gerakan yang pernah digerakkan oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim,” tambahnya.
Seruan kebangkitan
Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa Hassan dituduh mencemarkan imej parti, mengaibkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dan mengkritik kerajaan kerana "menyokong kumpulan kapitalis kroni".
Sultan Ibrahim adalah pemegang saham kedua terbesar dalam U Mobile.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, berkata tindakan disiplin diambil terhadap Hassan susulan aduan yang diterima parti daripada beberapa ahli Majlis Pimpinan Pusatnya.
Semalam Malaysiakini melaporkan bahawa Hassan merupakan salah seorang penerima Anugerah Semangat Lim Lian Geok ke-37 bagi tahun 2024.
Hassan diiktiraf atas prinsip dan pendiriannya dalam isu-isu semasa dan kerana keberaniannya menyatakan kebenaran.
“Sebagai penyokong kerajaan di parlimen, beliau secara konsisten berpegang kepada prinsip, mempertahankan keadilan, menolak populisme, menegakkan kedaulatan undang-undang, dan, apabila perlu, melawan arus dengan mendedahkan hipokrasi.
“Ucapannya seperti seruan untuk kesedaran. Dalam karier politiknya, beliau tidak mencari kemasyhuran atau kekayaan, menunjukkan integriti dan keikhlasan yang jarang berlaku di parlimen,” kata jawatankuasa pemilihan.