Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelajar UPNM didakwa pijak perut kadet dengan kasut but
1

Seorang lagi penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur berhubung insiden buli terbaru di institusi pengajian tinggi itu.

Mohd Adil Mat Awang Ghani mengaku tidak bersalah menyebabkan kecederaan terhadap rakan kadet Muhammad Haziq Iqbal Ahmad Rashidi dengan memijak perut mangsa menggunakan kasut but.

Tertuduh yang merupakan pelajar tahun tiga didakwa melakukan kesalahan itu terhadap pelajar tahun dua berkenaan di padang latihan UPNM, Sungai Besi, Kuala Lumpur, kira-kira jam 10.45 malam, 21 Nov lepas.

Jika sabit kesalahan, Adil boleh dipenjara sehingga setahun, denda tidak lebih RM2,000, atau disebat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Semasa prosiding di mahkamah, timbalan pendakwa raya Mohd Sabri Othman meminta mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwa raya juga memohon jaminan untuk tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, yang terdiri daripada pegawai UPNM dan jurulatih tertuduh sendiri.

Mohd Sabri berkata ikat jamin perlu ditetapkan sebanyak RM10,000 memandangkan kes itu membabitkan tertuduh yang dilatih menjaga disiplin dan mematuhi tanggungjawab kepada masyarakat dan negara.

Bagaimanapun, peguam dari khidmat bantuan guaman merayu agar ikat jamin ditetapkan lebih rendah kerana ikat jamin hanya bertujuan memastikan kehadiran di mahkamah dan bukan untuk menghukum tertuduh, yang belum didapati bersalah.

Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Dia juga memerintahkan tertuduh tidak menghubungi mangsa dan saksi pendakwaan.

UPNM kembali curi perhatian

UPNM kembali menjadi tumpuan baru-baru ini berikutan berulangnya kes buli dan penderaan, menyebabkan Kementerian Pertahanan memutuskan untuk mengenakan hukuman berat terhadap mereka yang terlibat.

Pada 8 Nov lalu, pelajar UPNM Amirul Iskandar Norhanizan, 22, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20.

Kes seumpama ini timbul semula selepas tujuh tahun insiden buli dan pembunuhan kejam membabitkan kadet tentera laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Zulfarhan meninggal dunia pada 1 Jun 2017, di Hospital Serdang selepas mengalami kecederaan parah apabila didera dengan seterika panas, yang menyebabkan 80 peratus badannya melecur.

Susulan kejadian itu, enam bekas pelajar UPNM disabitkan kesalahan membunuh Zulfarhan dan dijatuhkan hukuman mati.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS