Semasa setiap perkataan dalam artikel ini disusun dan setiap satu dari ayat-ayatnya digarap. Sudah ada kebimbangan yang disebarkan oleh media-media utama barat seperti CNN dan BBC berkenaan langkah-langkah sumbang yang telah dilakukan Donald Trump yang baru sahaja memenangi jawatan presiden Amerika Syarikat.
Kegusaran itu mula ditimbulkan oleh kebanyakan media Amerika Syarikat sebaik Trump menamakan nama-nama yang kontroversi seperti Pete Hegseth sebagai setiausaha pertahanannya.
Selain dari Matt Gaetz yang Trump namakan sebagai peguam negara, Tulsa Gabbard sebagai setiausaha perisikan kebangsaan, Michael Waltz sebagai penasihat keselamatan kebangsaan dan Robert F Kennedy Jr sebagai setiausaha di jabatan Kesihatan dan perkhidmatan kemanusiaan.
Trump yang menang besar dalam persaingan merebut jawatan presiden dengan pesaingnya Kamala Harris dalam pilihan raya Amerika yang lalu turut mengumumkan bakal menubuhkan sebuah jabatan baru yang diberi nama Jabatan Efisiensi Kerajaan yang akan diterajui oleh Elon Musk dan Vivek Ramaswamy.
Ada beberapa sebab mengapa barisan kabinet Trump itu menimbulkan kegusaran. Media melaporkan Hegseth berdepan dengan tuduhan serangan seksual, Gaetz pernah dihadapkan ke panel etika kongres berkenaan beberapa tuduhan jenayah yang melibatkan dadah, rasuah dan seks.
Sebahagian besar dari barisan kabinet yang dipilih Trump dikatakan tidak berpengalaman. Bahkan Robert F Kennedy Jr yang dilantik menjadi setiausaha Jabatan Kesihatan pernah mengeluarkan beberapa kenyataan yang bertentangan dengan kajian sains seperti autisme disebabkan vaksin dan Covid-19 disasarkan untuk menyerang etnik kulit putih dan kulit hitam.
Selepas memenangi pilihan raya, Trump kali ini berdepan pula dengan penentangan dari kebanyakan media yang selama ini setia menyokongnya dengan anggapan barisan kabinet pilihan Trump kali ini sebagai sesuatu yang mengerikan.
Naratif negatif yang menonjolkan kebimbangan besar itu walau bagaimanapun ditangani dengan tenang oleh Trump. Setakat ini dia langsung tidak menunjukkan apa-apa emosi dengan komen - komen yang mempertikai dan menyerang.
Dia tahu akan tiba masanya nanti dia akan menggunakan simbol fizikal yang menunjukkan kehebatan dan kemasyhuran seperti monumen, tugu dan makam. Ini akan menjadikan dia lebih berkuasa, berpengaruh dan besar berbanding kebimbangan media.
Tugu, menara dan makam
Dalam disiplin keilmuan, propaganda tugu, menara dan makam amat jarang dibincangkan. Walhal ia bolehlah disifatkan sebagai antara beberapa elemen teras yang sangat memberikan pengaruh kepada individu atau pihak yang sedang menjalankan propaganda.
Semua tahu Trump adalah seorang jutawan dan ahli perniagaan yang sangat berjaya. Trump Tower yang dibina di Midtown Manhattan yang turut menempatkan bangunan Empire State, bangunan ibu pejabat Bangsa-Bangsa Bersatu serta puluhan menara dan bangunan pencakar langit di Hudson Yards adalah suatu tanda yang Trump bersungguh-sungguh mahu berkuasa di Amerika.
Menugukan propaganda dengan cuba menampakkan elemen keupayaan dan kejayaan seseorang untuk mempengaruhi, menguasai dan menonjolkan kekuatan kepimpinan melalui propaganda jenis ini sudah lama diamalkan.
Di Malaysia pada tahun 80-an dulu Mahathir Mohamad tidak mengilhamkan Proton hanya dengan niat untuk menggerak dan menggiat aktiviti ekonomi sahaja. Proton pada waktu itu dilihat sebagai sebuah monumen bergerak propaganda yang dapat menunjukkan misi dan visi Mahathir sebagai seorang politikus yang mahu melihat negaranya membangun dan berjaya.
Menara KLCC dan bandar raya pentadbiran Putrajaya yang kita lihat pada hari ini adalah suatu legasi yang sampai bila-bila pun akan diingati sebagai sebuah menara propaganda yang memperlihatkan keupayaan, kekukuhan dan kekuatan kepimpinan seorang pemimpin bernama Mahathir.
Hal yang sama pernah dilakukan oleh Najib Razak melalui Menara TRX dan projek ECRL. Tanpa sedar dalam diam Najib dikenang sebagai seorang pemimpin yang giat membangunkan dan menstrukturkan ekosistem perkhidmatan kenderaan awam
Walaupun perkataan propaganda hanya wujud pada sekitar tahun 1622. Namun agenda dan aktiviti-aktiviti propaganda sudah lama diamalkan. Bahkan ia sudahpun wujud pada sekitar 2,600 sebelum masihi lagi.
Beberapa kurun lalu, Firaun telah menunjukkan kekuatan dan kekuasaannya melalui istana tempat dia hidup dan piramid tempat dia bersemadi.
Piramid-piramid yang dibina adalah simbol propaganda untuk menunjukkan bahawa Firaun bukanlah manusia biasa. Tapi sebaliknya adalah raja yang mempunyai keturunan dengan dewa matahari.
Piramid yang menempatkan mayat raja-raja dan seluruh keturunan mereka yang diawet akan dimakamkan dengan penuh kemuliaan bagi menyampaikan mesej propaganda berkenaan kebesaran, keperkasaan, keagungan mereka sebagai penguasa yang menguasai rakyat dan dunia.
Hari ini Trump yang dapat kembali menguasai Amerika sebagai presiden dan mahu menjadi presiden Amerika yang paling berpengaruh serta berkuasa di dunia hanya mengitar semula formula yang sama.
Sudah lama Trump bercita-cita dan merancang untuk menjadi presiden Amerika, cuma kita sahaja yang leka. Semenjak itu dia berusaha membina dinasti kekayaannya sebagai propaganda bahawa dia adalah orang paling berjaya yang boleh melakukan apa sahaja. Dia mula membina banyak menara pengaruh dan kuasa yang salah satunya adalah Trump Tower.
Propaganda bukan setakat kata-kata pada kemeja T, slogan-slogan pada banner dalam perarakan dan perkataan dalam ucapan-ucapan dalam kempen pilihan raya.
Akan tetapi propaganda juga adalah menara dan makam fizikal yang diisi dengan doktrin kekuasaan dan kemuliaan serta mesej kekuatan dan pengaruh yang memang dapat menyentuh hati dan jiwa manusia.
BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah penasihat SLR Institute. Dia bergiat aktif dalam penyelidikan propaganda dan penjenamaan politik. Budiman juga bekas ahli parlimen Sungai Besar daripada Umno.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.