Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Nama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) Shahul Hamid Shaik Dawood - yang kini kembali bertugas di agensi terbabit - tidak disebut dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer mengenai alasan Shahul dikembalikan ke tugas CEO dan tidak melantik orang baru.

"Saya sambut baik semangat Jelutong ini. Tetapi, saya berharap bukan sahaja tadi dia menyebut butiran yang salah, tetapi juga saya harap beliau baca juga laporan-laporan yang beliau ketengahkan.

"Nama yang disebut itu di dewan ini, yang pertama tidak disebut dalam apa-apa laporan. Keduanya, dia tidak ada di sini untuk mempertahankan diri. Dan saya nak kata laporan yang telah diserahkan ke SPRM ini adalah untuk apa-apa sekali kesalahan khususnya telah dibangkitkan dalam laporan-laporan audit itu.

"Jadi, tidak semestinya si anu si anu bersalah. Sudah tentu kita ambil tindakan tegas ke atas mana-mana orang yang didapati bersalah selepas ini.

"Tetapi, sehingga laporan akhir atau pun keputusan akhir dikeluarkan oleh SPRM dan pihak berkuat kuasa saya rasa tidak adil untuk kita menuding jari kepada siapa-siapa," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Steven membuat penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu.

HRD Corp mendapat perhatian berikutan sorotan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2/2024.

Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi mengesyorkan Kementerian Sumber Manusia merujuk entiti kerajaan kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan selepas gagal mengauditnya.

Secara berasingan, laporan PAC mendedahkan HRD Corp telah menggunakan RM3.77 bilion (levi yang dikutip daripada majikan untuk program pembangunan latihan) untuk pelbagai pelaburan yang tidak selari dengan tujuan asalnya.

Pada 5 Julai lalu, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Khairul Dzaimee Daud dan Shahul menyerahkan laporan pengurusan HRD Corp kepada SPRM.

Shahul sebelum ini mengambil cuti sementara agensi penguat kuasa SPRM menjalankan siasatan terhadap dakwaan penyelewengan dalam HRD Corp.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS