Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mempertahankan keputusan menjadi tuan rumah bagi delegasi dari Afghanistan walaupun negara yang dipimpin Taliban itu mengehadkan akses wanita kepada pendidikan.
Fahlina berkata dia akan merebut setiap peluang - setipis kulit bawang sekali pun - untuk membuka mata kerajaan pimpinan Taliban mengenai hak wanita mendapat pendidikan.
“Misi membuka mata mereka telah selesai. Kini saya hanya mengharap mereka akan melaksanakan misi selanjutnya iaitu membuka sekolah dan membenarkan kanak-kanak perempuan di Afghanistan ke sekolah sebagaimana kanak-kanak perempuan di Malaysia.
“Kita ini negara yang sentiasa dilihat sebagai negara contoh. Negara suri teladan. Negara nara sumber kepada banyak negara lain. Kita harus berani dalam langkah melawan diskriminasi dan terus memperjuangkan hak pendidikan untuk anak-anak perempuan di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Fadhlina sebelum ini mengesahkan dia menyambut delegasi yang diketuai oleh ketua pengarah Kementerian Pendidikan Afghanistan, Shahabuddin Saqib awal bulan ini.
Susulan itu, Pengerusi DAP Lim Guan Eng mempertikai perkara itu, dengan memetik bahawa Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Afghanistan dan dasar negara itu yang menghalang wanita daripada belajar di sekolah menengah dan universiti.
Lim mendakwa Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh, yang juga daripada DAP, tidak menyedari lawatan delegasi itu, dan bertanya sama ada Fadhlina membangkitkan isu sekatan Afganistan terhadap pendidikan wanita semasa kunjungan delegasi berkenaan.
Dalam catatan Facebooknya hari ini, Fadhlina berkata isu akses wanita kepada pendidikan sentiasa menjadi keutamaannya walaupun sebelum menjadi menteri.
"Tetapi andainya, saya mampu meyakinkan mereka bahawa memberikan pendidikan untuk kaum wanita tidak bercanggah dengan Islam, malah sejajar dengan nilai Islam, maka ia memberi makna yang besar untuk wanita di Afghanistan apabila melangkah masuk semula ke sekolah.
"Itu perjuangan yang akan terus saya lakukan di mana sahaja saya berada. Tidak kira posisi. Saya mahu dunia belajar daripada Malaysia bahawa kita mempunyai pengalaman yang cukup panjang dalam perjuangan pendidikan," katanya.
Jelasnya, dia memahami kebimbangan sesetengah segmen masyarakat mengenai isu ini.
"Tetapi yakinlah dengan menteri pendidikan wanita ini, kita berjuang tanpa mengira kaum dan agama. Kita menggalas misi untuk menjadikan dunia ini lebih inklusif dan progresif, baik di tanah air, mahupun di mana-mana pelosok di dunia.
"Perjuangan ini bukan untuk bermegah dengan pencapaian kita, atau prinsip kita, tetapi untuk memastikan lebih ramai insan di dunia ini, berkongsi kemajuan dan kesejahteraan kerana prinsip dan nilai yang kita dukung dan pertahankan,” katanya.