Pemenang Anugerah Semangat Lim Lian Geok ke-37 bagi tahun 2024 diumumkan hari ini, dengan anggota parlimen PKR bagi Pasir Gudang, Hassan Karim, menjadi salah seorang daripada lima penerima anugerah dan satu-satunya ahli politik dalam kalangan mereka.
Menurut Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Semangat Lim Lian Geok, lima pemenang tersebut ialah sarjana Jepun Nobuyoshi Takashima, guru Twang King Hung @ Chuang Keng Kung, Hassan Karim, guru Tan Eng Thong @ Tan Lip Thong, dan penari serta koreografer Wong Kit Yaw.
Kenyataan itu menyebut bahawa Anugerah Semangat Lim Lian Geok tahun ini menerima sepuluh pencalonan, dengan tiga daripadanya berasal dari Lembah Klang, manakala masing-masing satu dari Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan, dan Sarawak.
Seorang lagi calon berasal dari Jepun.
“Daripada sepuluh calon tersebut, terdapat dua bukan Cina dan seorang warga asing.
“Kebanyakan calon berasal dari sektor pendidikan, namun latar belakang mereka pelbagai, termasuk guru dan pengetua yang telah bersara, pengerusi organisasi, pengajar tarian, usahawan, peminat catur, penulis, sarjana, profesor bersara, dan bekas pegawai.
“Uniknya, tahun ini terdapat seorang pemain politik dalam kalangan mereka,” menurut kenyataan itu.
Majlis penyampaian anugerah dijadualkan berlangsung pada 15 Disember, bertempat di Sekolah Menengah Persendirian Confucian, Kuala Lumpur.
Hassan dicalonkan oleh sarjana politik Wong Chin Huat.
Menurut Jawatankuasa Pemilihan, anugerah itu mengiktiraf dedikasi Hassan terhadap keadilan, keberaniannya menentang rasuah, serta prinsip politiknya yang bebas dan teguh.
“Sebagai penyokong kerajaan di parlimen, beliau secara konsisten berpegang kepada prinsip, mempertahankan keadilan, menolak populisme, menegakkan kedaulatan undang-undang, dan, apabila perlu, melawan arus dengan mendedahkan hipokrasi.
“Ucapannya seperti seruan untuk kesedaran. Dalam karier politiknya, beliau tidak mencari kemasyhuran atau kekayaan, menunjukkan integriti dan keikhlasan yang jarang berlaku di parlimen,” menurut kenyataan itu.
Dalam klip video yang disediakan oleh Wong semasa pengumuman anugerah tersebut, dia berkata pengiktirafan terhadap Hassan membawa dua makna penting.
“Pertama, ia mengiktiraf keberaniannya menentang populisme, perkauman, dan ekstremisme agama, serta mempertahankan keadilan, hak asasi manusia, demokrasi pelbagai parti, dan kedaulatan undang-undang dengan teguh,” kata Wong.
“Kedua, ia memberi contoh teladan kepada penyokong kerajaan.”
Wong menambah, di Malaysia, tanggungjawab untuk mengawasi kerajaan adalah tanggungjawab bersama antara pembangkang dan penyokong kerajaan, walaupun penyokong kerajaan sering disalah anggap hanya sebagai penyokong semata-mata.
Namun, Hassan memecahkan stereotaip ini dengan berani mengkritik kerajaan dan memenuhi tugasnya sebagai pemantau, kata Wong.
Ironinya kemenangan Hassan itu diumumkan ketika dia diheret ke jawatankuasa tatatertib PKR susulan kritikannya terhadap kerajaan baru-baru ini.
Malaysiakini difahamkan dia diheret ke jawatankuasa itu kerana mengkritik keputusan kerajaan melantik U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua.
Dia antaranya mendakwa kerajaan mula terjebak dengan kesilapan membina kapitalis kroni yang kebal dan tidak mudah disentuh.
Anugerah Semangat Lim Lian Geok mengiktiraf mereka yang telah memberi sumbangan besar dalam mempromosikan budaya kebangsaan dan pendidikan bahasa ibunda.
Kriterianya termasuk pembangunan organisasi, advokasi sosial, perkhidmatan komuniti, sumbangan akademik, pembangunan budaya, dan sokongan terhadap golongan rentan.
Lim Lian Geok ialah pejuang pendidikan Cina di Malaysia yang digelar "Jiwa raga orang Cina".
Ketegasannya menyebabkan kewarganegaraan dan lesen mengajarnya ditarik pada tahun 1961. Legasi perjuangannya cuba diabadikan melalui anugerah ini.