Selepas pemimpin utama mereka dikritik oleh Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, beberapa pemimpin muda DAP tampil membalas dengan serangan bertalu-talu dalam beberapa kenyataan berasingan, hari ini.
Naib Ketua Pemuda DAP, Raja Ahmad Iskandar Fareez menyatakan rasa hairan apabila Akmal tersentap kerana Setiausaha Agung DAP Anthony Loke tidak membalas serangan-serangannya.
"Jelas sebenarnya Loke sebagai seorang menteri pengangkutan dan setiausaha agung DAP, dia perlu memberikan keutamaan kepada tugas-tugasnya dalam membangunkan negara berbanding terjerat dengan polemik yang bukan sahaja tidak memanfaatkan hidup rakyat malah mampu menganggu kestabilan politik yang sedang kita nikmati sekarang.
"Justeru, kepada saudara Akmal, apa niat sebenar saudara mencetuskan polemik yang tidak berkesudahan? Adakah saudara benar-benar ikhlas ingin membela nama agama, bangsa dan negara?
"Atau saudara hanya ingin sibuk menagih perhatian dengan menyerang pemimpin-pemimpin utama negara? Tepuk dada tanya selera. Jadi saya khuatir, kalau pemimpin muda seperti Akmal hanya sibuk mengejar nama, jadi tugas untuk membina negara ini perlu diserahkan kepada siapa?" katanya dalam kenyataan kepada media.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan Akmal menyifatkan Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban sebagai kaduk naik junjung selepas mendapat jawatan menteri.
“Baru ada pangkat, sombong!” kata Adun Merlimau itu. Kaduk naik junjung adalah peribahasa yang bermaksud orang yang hina apabila mendapat pangkat mengada-ngada.
Loke dalam podcast dengan Malaysiakini baru-baru ini enggan memberi respons kepada kenyataan-kenyataan pedas Akmal kerana menurutnya dia tidak berada pada "level" yang sama.
Mengulas kenyataan Akmal, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP Sheikh Umar Bagharib Ali menyifatkan Akmal sering membuat kenyataan yang diibaratkan tembak kaki sendiri, sambil mengingatkannya bahawa Umno adalah sebahagian kerajaan perpaduan.
“Ketua Pemuda Umno bukannya tak boleh komen. Tapi gunalah saluran yang lebih cermat. Jadi, tindakan Loke itu betul. Kalau Loke layan Akmal, lagi hodoh jadinya.
“Nasihat saya pada Akmal, berhenti berharap supaya Loke menepuk air di dulang. Kerana bila terpercik, muka Akmal juga yang basah kuyup
“Kerana kita sama-sama dalam Kerajaan, kita satu pasukan. Melainkan Akmal rasa dirinya mewakili pembangkang,” katanya.
Setiausaha Pemuda DAP Lim Chun Weng pula menegaskan bahawa Loke sebagai menteri kabinet perlu lebihkan tumpuan kepada isu-isu rakyat dan bukan melayan publisiti politik murahan.
Dia turut menggesa Akmal untuk menumpukan perhatian kepada pembinaan negara dan hentikan serangan terhadap pemimpin dalam kerajaan perpaduan demi publisiti murahan.
Tegasnya, Akmal perlu bersikap rendah hati dan belajar daripada pemimpin senior serta memberi tumpuan kepada isu-isu yang mendatangkan manfaat dari segi ekonomi dan kesejahteraan rakyat, bukannya memainkan isu perkauman demi kepentingan sendiri.
“Sekiranya setiausaha agung DAP memberi respons kepada setiap kenyataan Akmal, ia ibarat tiada titik noktah, bertengkar tanpa kesudahan. Tambahan pula, Akmal sebagai seorang junior dalam politik perlu lebih rendah diri.
"Saya bersetuju bahawa sebagai menteri kabinet, Loke mempunyai tanggungjawab yang lebih penting. Fokus beliau adalah isu-isu berkaitan dengan kebajikan rakyat dan bukannya Akmal," jelasnya.
Tambahnya, di bawah kepimpinan Loke, Kementerian Pengangkutan melaksanakan beberapa dasar baru, seperti pas bulanan tanpa had pengangkutan awam My100 dan My50 selain dasar pendigitalan JPJ.
"Dasar-dasar ini dengan jelasnya telah memudahkan hidup rakyat. Saya ingin menegaskan bahawa melaksanakan dasar sebegini ini lebih membawa manfaat kepada rakyat dan negara berbanding membalas retorik kosong Akmal," kata Lim lagi.
Adun Kuala Kubu Bharu Pang Sock Tao dalam kenyataannya pula menegaskan betapa Loke fokus terhadap tugas utamanya dan bukan melayan sentimen perkauman.
Timbalan Setiausaha Publisiti Pemuda DAP itu berkata Akmal sebagai seorang pemimpin muda dalam kerajaan perpaduan perlu menghormati pemimpin tertinggi parti yang merupakan anggota kerajaan perpaduan.
"Saya dan rakan-rakan muda dalam DAP agak terkilan dengan sikap seorang pemimpin muda yang juga seorang exco kerajaan Melaka yang juga turut dianggotai wakil rakyat DAP mengeluarkan kenyataan yang kurang sopan ke atas setiausaha Agung DAP.
"Untuk makluman saudara Akmal, sebagai seorang menteri pengangkutan dan pemimpin utama dalam kerajaan, Loke memikul tanggungjawab besar untuk melaksanakan dasar-dasar penting serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.
"Tugas seorang pemimpin, tidak kira pada peringkat rendah, tinggi, apa sekalipun, adalah untuk menyatukan rakyat. Sekali gus tindakan Akmal memainkan isu perkauman dengan niat untuk memecahbelahkan kerajaan perpaduan dan menggugat kestabilan negara adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab serta mementingkan diri sendiri," katanya.
Tambahnya, kestabilan politik dan sosial negara adalah elemen utama bagi memastikan keberkesanan usaha kerajaan Madani dalam memulihkan ekonomi serta membawa kemakmuran kepada semua rakyat Malaysia.
"Saya menyeru agar semua pihak, khususnya pemimpin muda, memberi fokus kepada agenda perpaduan nasional dan menghentikan permainan politik yang boleh merugikan rakyat serta negara," tegasnya.