Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelantan bentang Belanjawan RM1.45 bilion, defisit RM93.02 juta

Kerajaan Kelantan hari ini membentangkan Belanjawan 2025 berjumlah RM1.45 bilion dengan anggaran defisit sebanyak RM93.02 juta.

Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud ketika membentangkan belanjawan bertemakan "Keberkatan, Kesejahteraan dan Keseimbangan Untuk Kemakmuran Negeri" berkata jumlah defisit itu berkurangan sebanyak RM85.47 juta iaitu 47.88 peratus berbanding Belanjawan 2024 sebanyak RM178.49 juta.

"Pengurangan defisit menunjukkan usaha kerajaan Kelantan ke arah mencapai keseimbangan bajet dari tahun ke tahun bagi menjamin pengukuhan aliran tunai dan rizab tunai kerajaan tanpa sedikit pun mengurangkan peruntukan program dan projek yang melibatkan kepentingan rakyat.

"Belanjawan 2025 disusun secara bertumpu bagi memenuhi pelaksanaan dan penyempurnaan sebahagian daripada Strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam 2023-2033 dan Hala Tuju Portfolio Kerajaan Negeri 2024-2028 yang mencakupi lima elemen Maqasid Syariah," katanya ketika membentangkan belanjawan itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di Kota Bharu hari ini.

Mohd Nassuruddin berkata anggaran hasil negeri pada tahun 2025 dijangka sebanyak RM997.26 juta yang meliputi hasil cukai berjumlah RM230.51 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM354.93 juta dan terimaan bukan hasil bernilai RM411.82 juta.

Beliau seterusnya berkata jumlah itu menunjukkan berlakunya kenaikan dalam hasil sebanyak RM30.01 juta iaitu 3.10 peratus berbanding anggaran hasil tahun 2024 sebanyak RM967.25 juta.

"Hasil tanah adalah penyumbang terbesar dengan jumlah RM379.05 juta daripada keseluruhan jumlah hasil dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM2.04 juta iaitu sebanyak 0.54 peratus berbanding anggaran pada tahun 2024 sebanyak RM377 juta.

"Anggaran kutipan hasil pada tahun 2025 diunjurkan meningkat sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan anggaran kutipan hasil tanah yang ditetapkan sebanyak 100 peratus jumlah patut pungut, menguatkuasakan kutipan bayaran terhadap tunggakan cukai tanah berjumlah melebihi RM50 ribu, menetapkan Petunjuk Prestasi Utama kutipan bayaran notis dan denda lewat bayar cukai tanah sebanyak 30 peratus daripada jumlah patut pungut," katanya.

Beliau berkata kerajaan Kelantan amat memerlukan pendaya upaya bagi menarik pelaburan berpotensi ke negeri ini melibatkan infrastruktur asas seperti lebuh raya, sistem bekalan air bersih yang stabil dan mencukupi untuk keperluan industri, bekalan elektrik yang baik dan kawasan industri baharu yang dilengkapi dengan infrastruktur kemudahan asas yang lengkap.

"Kerajaan negeri yakin hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan yang terbina selama ini berteraskan semangat federalisme adalah isyarat yang sangat positif kepada negeri dan rakyat Kelantan," katanya.

Persidangan DUN bersambung Ahad ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS