Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Takkan timbalan menteri tak tahu KPM sambut Taliban? - Wee
Diterbitkan:  Nov 21, 2024 3:48 PM
Dikemaskini: 7:48 AM

Presiden MCA Wee Ka Siong menyatakan rasa hairan apabila Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh dikatakan tidak tahu mengenai tindakan kementerian itu menyambut pegawai kerajaan Afghanistan yang dipimpin Taliban.

Dalam catatan di Facebook, Wee berkata mana mungkin Wong tidak tahu mengenai perkara itu sedangkan dia mempunyai hubungan baik dengan menteri, Fadhlina Sidek.

"Eh pelik pula! Bagaimana Timbalan Menteri Pendidikan YB Wong yang berkuasa dan berpengaruh ini tidak mengetahui perkara ini? Hubungan Fadhlina dan Wong yang begitu akrab, mana mungkin Wong tak mengetahuinya?.

"Timbul persoalan, apa pendirian Wong Kah Woh? Setuju dengan tindakan Fadhlina? ⁠Setuju dengan Taliban? Senyap saja dan tidak bersuara?" soalnya.

Dalam nada sinis, presiden MCA itu berkata Wong mungkin memilih untuk menjawab dalam jawapan bertulis di parlimen.

"Mungkin akan dijawab secara bertulis? Jawapan mudah, tak payah kot!" tambahnya.

Semalam, Pengerusi DAP Lim Guan Eng mahu Kementerian Pendidikan menjelaskan perkara itu memandangkan Afghanistan dikenali sebagai negara yang menyekat pendidikan untuk golongan wanita.

Ditanya sama ada Wong tahu mengenai lawatan delegasi Taliban ke Kementerian Pendidikan, Lim berkata timbalan menteri itu masih belum dimaklumkan mengenainya.

Dalam catatannya, Wee juga mengingatkan bagaimana ada pemimpin politik tertentu ketika menjadi pembangkang, gemar menggunakan perkataan “Taliban” dalam ucapan dan ceramahnya untuk menyerang musuh politik.

"Akhirnya banyak undi Cina yang diperolehi oleh partinya.

"Kini tokoh tersebut telah dinaik pangkat dan menjadi menteri kabinet, partinya juga jadi kerajaan, ramai pemimpin mereka juga jadi menteri dan berjawatan tinggi," katanya.

Walaupun presiden MCA itu tidak menyebut nama, ia jelas merujuk kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Pada 2019, Nga mendakwa jika Umno dan PAS bekerjasama, ia boleh menjadikan Malaysia sebuah negara "Taliban".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS