Seorang suspek kes buli membabitkan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata, ia selepas pihaknya melengkapkan siasatan kes dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
"Arahan untuk pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan di Mahkamah Jalan Duta, jam sembilan pagi esok," katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.
Seksyen 323 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan boleh dihukum penjara tidak sampai setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Kes tersebut membabitkan seorang kadet tahun satu Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM yang cedera parah dipijak penuntut senior.
Pada 10 Nov lepas, Rusdi dalam kenyataan memaklumkan mangsa yang berusia 19 tahun mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang selepas dicederakan seorang penuntut senior tahun tiga.
Kejadian dilaporkan berlaku pada 10.45 malam 21 Okt lepas dan polis menerima laporan berkaitan insiden itu pada 8.40 malam 8 Nov lepas.
Rusdi berkata, setakat hari ini seramai 16 saksi sudah dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan kes tersebut.