Ketua pembangkang Sabah Mohd Shafie Apdal mahu kerajaan negeri lebih telus dalam memberi penjelasan berhubung dakwaan skandal rasuah membabitkan beberapa Adun berhubung isu perlesenan mineral.
Menurut bekas ketua menteri itu, ia penting bagi mengelakkan persepsi negatif.
"Pertama berhubung kait mineral yang dibangkitkan perlu ada transparensi, kita tidak mahu ada persepsi di luar sana walaupun faham ia masih dalam siasatan pihak berwajib.
"Kita tidak ingin ia berlanjutan seakan-akan masyarakat dalam keadaan tidak tahu menahu mengenai perkara berhubung kait mineral dan siapa pemilik lesennya.
"Saya minta penjelasan walaupun tidak tuduh perkara ini," katanya kepada media pada sidang akhbar di bangunan DUN Sabah, di Kota Kinabalu, semalam.
Shafie, yang adalah presiden Parti Warisan, menegaskan bahawa video Malaysiakini bukan melibatkan Adun pembangkang tetapi sebaliknya wakil daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan ini harus diperjelaskan.
"Saya nampak tidak adapun penafian yang diberikan sehingga dapat dijelaskan secara seterang mungkin untuk membolehkan rakyat faham dan tahu tentang perkara ini," katanya yang juga adalah Adun Senallang.