Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rasuah Adun: Batalkan arahan tarik balik video, artikel Mkini - Kumpulan media
Diterbitkan:  Nov 21, 2024 9:45 AM
Dikemaskini: 1:45 AM

Sebuah kumpulan kebebasan media mendesak pihak berkuasa membatalkan arahan mereka terhadap Malaysiakini agar portal berita itu menarik balik artikel dan video yang dikaitkan dengan skandal rasuah yang didakwa berlaku di Sabah.

“Kami menggesa MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk membatalkan arahan tarik balik mereka terhadap Malaysiakini dan menghentikan gangguan terhadap organisasi media tersebut berhubung laporan rasuah.

“Kerajaan mesti memastikan wartawan boleh melaporkan dengan bebas mengenai isu yang berkepentingan awam,” kata Committee to Protect Journalists (CPJ) di X.

Pada 17 November lalu, MCMC meminta Malaysiakini untuk “segera memadamkan” artikel dan video yang berkaitan dengan skandal rasuah yang didakwa di Sabah.

Video yang dimaksudkan ialah rakaman membabitkan Adun Tempasuk, Arsad Bistari, yang mengadu tentang “projek bernilai RM70 juta yang disekat” dan mendakwa “pasukan lama” yang terdiri daripada Menteri Kewangan Negeri, Masidi Manjun, sebagai punca perkara itu.

Dalam surat bertarikh 16 November, MCMC menyatakan artikel dan video tersebut mungkin mengganggu siasatan polis berhubung ugutan bunuh ke atas pemberi maklumat dan boleh menjejaskan keselamatan serta privasi individu tersebut.

Video itu adalah salah satu daripada empat video yang disiarkan oleh Malaysiakini. MCMC tidak menyebut mengenai rakaman lain.

Pada hari yang sama, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menafikan pihaknya memberi arahan kepada MCMC dan sebaliknya mengatakan permintaan itu dibuat oleh pihak polis kepada suruhanjaya tersebut.

Siasat rasuah, bukan wartawan

Menjelaskan perkara tersebut, Ketua CPJ Asia, Beh Lih Yi, mengingatkan pihak berkuasa bahawa mereka sepatutnya menyiasat dakwaan rasuah dan berhenti daripada mensasarkan wartawan yang membuat laporan.

“Di seluruh Asia dan dunia, wartawan telah menjadi sasaran hanya kerana melaporkan, terutamanya mengenai isu-isu seperti jenayah dan rasuah.

“Kriminalisasi kewartawanan ini tidak boleh menjadi perkara biasa di Malaysia juga,” tegasnya.

Beh turut menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menepati janji pilihan raya dengan melindungi kebebasan media dan menghentikan sebarang bentuk intimidasi media yang akan membawa Malaysia kembali ke masa lalu yang bersifat kuku besi.

“Wartawan mesti dibenarkan menjalankan tugas mereka, untuk melaporkan secara bebas dan selamat mengenai isu-isu berkepentingan awam seperti rasuah, terutamanya selepas skandal 1MDB,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS