Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NUJM ingatkan Shafee jangan heret media dalam kes Najib
Diterbitkan:  Nov 21, 2024 9:28 AM
Dikemaskini: 1:28 AM

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) memandang serius kenyataan dibuat peguam Muhammad Shafee Abdullah berhubung dakwaannya bahawa media tidak melaporkan secara adil kes rasuah SRC International membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Dalam satu kenyataan, NUJM berkata kes membabitkan Najib dilaporkan secara terperinci oleh setiap organisasi media di negara ini, sama ada media perdana mahupun alternatif.

NUJM berkata portal berita seperti Malaysiakini dan The Edge turut memberi liputan secara langsung dari kamar mahkamah sepanjang tempoh empat tahun prosiding perbicaraan.

“Kenyataan yang dibuat pada forum berkenaan memberikan tanggapan negatif kepada petugas media yang selama ini bertungkus lumus memperincikan perbicaraan Datuk Seri Najib Razak, yang memakan masa bertahun-tahun lamanya.

"Sehubungan itu, NUJM berpendapat bahawa media tidak perlu diheret atau dipersalahkan dalam hal membabitkan kes Datuk Seri Najib Razak.

"NUJM juga berpendirian bahawa semua pihak perlu menghormati tugas media dan memberikan kerjasama yang diperlukan bagi memastikan laporan yang telus dan objektif.

"Akhir sekali kami menyeru semua pihak untuk mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan bagi mendapatkan penjelasan sebenar sebelum membuat sebarang kenyataan,” kata NUJM.

Shafee dalam sebuah forum bertajuk "Media Townhall: Getting the Facts Right – The Untold Stories of 1MDB & Other Cases mendakwa media gagal melaporkan secara adil kes rasuah SRC International membabitkan Najib.

Bekas perdana menteri itu kini menjalani hukuman penjara enam tahun sejak penghujung 2022, dan didenda RM50 juta.

Najib pada mulanya dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, namun hukuman itu dikurangkan susulan pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS