Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Kerancuan pemikiran aktivis dan pemimpin Islam

Islam sangat mementingkan persoalan kepimpinan (qiyadah) dan meletakkan garis pedoman yang sangat jelas tentang urusan pelantikan pemimpin. Al-Quran turut menggariskan seorang pemimpin itu haruslah terhimpun kepadanya dua perkara, iaitu al-qawiy (mampu atau kredibiliti) dan al-amin (jujur atau berintegriti).  Ketiadaan salah satu dari ciri tersebut akan melahirkan kekacauan dalam urusan pengelolaan masyarakat.

Malangnya, krisis inilah yang sedang dihadapi oleh aktivis dan pemimpin Islam di Malaysia sekarang ini. Mengambil maklumat dari media sosial dan medium Whatsapp tanpa tapisan, tidak melakukan rujuk silang, berhujah dengan berita palsu, menggunakan sumber dari surat layang hinggalah kepada kualiti perbahasan di Parlimen yang sangat dangkal. Inilah bahana kepimpinan yang terpaksa ditanggung oleh seluruh masyarakat Islam di Malaysia kini. 

Belum lagi mengambil kira betapa tohornya kefahaman pemimpin-pemimpin Islam di Parlimen dalam isu-isu sosial semisal pendidikan, ekonomi, teknologi dan seumpamanya sehingga melahirkan hujahan yang tidak mendasar.  Seolah-olah isu-isu hal ehwal manusia itu sebagai satu isu sekular dari kamus gerakan Islam. 

Walhal, keterpisahan agama dengan hal ehwal duniawi itulah satu bentuk sekularisme baharu yang sedang meracuni aktivis-aktivis dan pemimpin gerakan Islam. Bahkan, keterpisahan inilah yang menjadi punca kemunduran dan kegelapan bangsa Barat suatu masa dahulu. 

Hal seperti ini perlu menjadi kerisauan dan dibincangkan secara bersungguh-sungguh memandangkan pemimpin Islam ini akan menjadi model tentang kesyumulan Islam serta simbol kepimpinan Islam yang ingin ditawarkan kepada masyarakat beragam etnik dan agama seperti Malaysia ini. Mereka memikul taklifan (tanggungjawab) yang sangat berat kerana mendukung identiti Islam. 

Sebagai contoh, tidak lama sebelum ini terdapat seorang ahli Parlimen yang membahaskan tentang kemudaratan sistem riba, namun hujahnya masih lagi berlegar dalam ruang lingkup teoritikal dan hukum-hakam, dan masih gagal untuk mengusulkan jalan keluar dari sistem tersebut secara penggubalan undang-undang atau dasar. 

Barangkali mereka sendiri tidak mengambil iktibar oleh karangan tokoh gerakan Islam yang sering menjadi rujukan mereka, iaitu Sheikh Dr Fathi Yakan dalam bukunya yang diterjemah dengan judul Parlimen Islam: Konsep Islam Mengenai Kegiatan Parlimen dan Pilihan Raya yang menegaskan keperluan pembentukan polisi yang konstruktif dalam segenap bidang baik soal pendidikan, alam sekitar, masalah sosial dan ekonomi sebagai satu wahana mencegah kemungkaran yang maha dahsyat. 

Menurutnya lagi, aktivis Islam yang berada di dewan perundangan (Parlimen) hendaklah berhasil mengalihkan idea-idea dan teori murni Islam ke tahap praktik dan bersifat empirikal. Dengan itulah, kepimpinan Islam akan dilihat sebagai benar-benar menghayati konsep Islam sebagai ad-din (cara hidup) yang mampu mengeluarkan masyarakat dari natijah formulasi dasar yang haru-biru. 

Di mana titik permasalahannya? 

Tidak dinafikan, tatkala ini muncul pelbagai aliran dalam kefahaman Islam yang cuba menggandingkan atau mengharmornikan Islam dengan isme-isme baharu ciptaan manusia semisal sosialisme, komunisme, liberalisme. Tidak kurang juga yang melihat Islam sebagai agama bertunjangkan nilai humanisme semata sebagai kayu ukur mutlak, lalu menyisihkan syiar-syiar agama yang dianggap tidak memiliki nilai-nilai materialisme sosial. 

Aliran-aliran ini cuba memposisikan Islam sebagai agama yang turut memiliki nilai-nilai kesejagatan seperti anjuran Barat semisal keadilan, ketelusan, keterbukaan, demokratik, tanpa sedar sebenarnya telah tersilau dengan kerangka nilai dan ukuran Barat. 

Meskipun begitu, ini tidaklah bermakna Islam sebagai sebuah agama jumud yang menolak secara pukal idea-idea tersebut. Sebaliknya, Islam datang dengan kaedah menanggapi fahaman itu secara kritis dan tidak mengangguk terima secara membuta-tuli. Jika tidak, wacana Islam hanya akan disajikan dalam bentuk produk tempelan seperti ‘pelayaran Islamik’   tanpa mendatangkan inti pati yang lebih substantif. 

Dalam menanggapi kegalauan ini secara tersusun, pandangan Kuntowijoyo, seorang pemikir Islam dari tanah seberang, Indonesia perlu menjadi sandaran kepada aktivis-aktivis dan pemimpin Islam di Malaysia. Beliau menggagaskan “prophetic social science” yang menggarap kesedaran Ketuhanan dan kesedaran kemanusiaan secara segerak seperti firman Allah dalam al-Quran iaitu hablum minallah (hubungan dengan Allah) dan hablum minannas (hubungan sesama manusia). 

Kerangka kefahaman sebeginilah yang perlu menjadi landasan dalam wacana-wacana gerakan Islam di Malaysia, iaitu dengan mengamalkan sikap berdamai dengan ilmu-ilmu kemanusiaan seperti ekonomi, sosiologi, antropologi dan menjadikannya sebagai ilmu bantu dalam menekuni permasalahan sosial masyarakat moden yang bertambah rumit dan rencam. 

Rasuah sebagai contoh, tidak lagi wajar dilihat sebatas pemberian dan penerimaan wang bagi memperoleh manfaat tertentu, sebaliknya perlu diluaskan cakupannya terhadap korupsi nilai yang sudah menjadi kelaziman dan bersifat “budaya”. Namun khutbah, kuliah dan ceramah agama di masjid masih menggunakan kerangka ini dalam mengkonsepsikan salah guna kuasa dan korupsi nilai sehingga masyarakat sendiri terpisah dari kesedaran tersebut. 

Pendekatan sebegini bukanlah suatu tradisi yang asing, Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah, dua organisasi massa Islam di Indonesia turut menerbitkan telaah “fiqih korupsi” bagi merekonstruksi konsepsi baharu korupsi yang makin berkembang dan sudah terinstitusi. 

Dalam konteks Malaysia, krisis ini telah lama diterjah oleh Syed Hussein Alatas dalam bukunya Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi yang menekuni rasuah dari lensa sosiologi. Begitupun, berapa ramai aktivis dan pemimpin Islam telah melazimi karya tersebut baik dalam usrah, mukhayyam, tamrin atau liqa’ anjuran mereka? Kesombongan sebeginilah, yang akhirnya menyudutkan Islam dari perbincangan dan permasalahan semasa masyarakat. 

Persoalannya, mampukah aktivis dan pemimpin Islam keluar dari tradisi yang melemahkan dan menuju kepada tradisi yang aktif? 


ABDUL MUQIT MUHAMMAD merupakan seorang pensyarah kanan di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Bidang pengkhususannya ialah budaya politik Melayu. 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS