Sebuah persatuan pelajar mengecam cadangan untuk menyekat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi kursus universiti yang mempunyai kadar pembayaran balik yang rendah.
Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) menyifatkan cadangan itu sebagai tidak adil dan tidak menangani punca sebenar kadar pembayaran balik yang rendah.
Umany berkata cadangan itu akan menghukum pelajar yang tidak bersalah, bukannya mereka yang gagal membayar balik pinjaman.
“Sebab utama kadar pembayaran balik rendah adalah kerana ramai graduan bergelut untuk membayar pinjaman… (Cadangan ini) menghukum mereka yang tidak bersalah, bukannya yang bersalah.
“Kemampuan pelajar untuk membayar balik pinjaman bergantung pada keadaan kewangan peribadi mereka, bukan kursus yang dipelajari,” kata Umany dalam kenyataan hari ini.
Pada 14 November lalu, Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid dilaporkan berkata perbadanan itu sedang menimbang untuk menghentikan pembiayaan bagi kursus universiti yang memiliki kadar pembayaran balik pelajar bawah 30 peratus.
Menurut laporan sebelum ini, sehingga 31 Disember 2021, sebanyak RM32.29 bilion pinjaman PTPTN masih belum dibayar oleh 2,716,110 peminjam.
Sementara itu, Umany mengingatkan langkah sedemikian akan memberi kesan tidak sepatutnya kepada pelajar kurang berkemampuan yang mendaftar dalam kursus yang dihentikan pinjaman.
Kursus-kursus tersebut mungkin sudah berdepan jumlah pendaftaran yang rendah, dan pelaksanaan cadangan itu boleh menyebabkan ia tersisih dan akhirnya tidak ditawarkan lagi dalam sistem pendidikan Malaysia, katanya.
“Umany menggesa kerajaan agar tidak meneruskan cadangan ini, yang akan menafikan peluang pendidikan kepada pelajar dan menyekat kepelbagaian dalam pendidikan.
“Pendidikan seharusnya bukan hanya untuk membentuk karakter dan pemahaman budaya pelajar, tetapi juga membangunkan bakat dalam pelbagai bidang,” katanya lagi.
Umany turut menyeru kerajaan untuk meneliti punca sebenar ada pelajar yang tidak membayar balik pinjaman.
Katanya, ramai graduan baru menghadapi masalah gaji rendah dan kerajaan perlu berdialog dengan mereka untuk memahami cabaran itu serta berusaha menyelesaikan isu gaji dalam pasaran pekerjaan.