Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Zakat' disebut Nga hanya metafora, kata Pemuda DAP
Diterbitkan:  Nov 20, 2024 8:57 PM
Dikemaskini: 12:57 PM

Timbalan Ketua Pemuda DAP, Ong Chun Wei mempertahankan kenyataan Nga Kor Ming selepas naib pengerusi DAP itu dibidas kerana menggunakan perkataan 'zakat' ketika mengulas mengenai kedudukan kewangan sayap parti berkenaan.

Menurut Ong, Nga hanya menggunakan perkataan 'zakat' untuk menggambarkan situasi Pemuda DAP yang menghadapi masalah kewangan dan memerlukan bantuan segera.

Katanya, ia tiada niat untuk menyinggung mana-mana agama dan memperlekehkan zakat.

Sebaliknya, Ong menyalahkan PAS dengan mendakwa parti itu cuba merosakkan hubungan kaum.

Sebagai contoh, dia membangkitkan dakwaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mengatakan orang bukan Islam adalah punca berlaku rasuah , dan kenyataan Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor yang menghina Menteri Pelancongan Tiong King Sing dengan gelaran "tokong perut buncit".

“Kenapa Pemuda PAS menutup mata dengan kata-kata diskriminasi pemimpin mereka? Namun, mereka menggunakan metafora Nga Kor Ming yang tidak berbahaya untuk mencipta kontroversi.

“Skizofrenia dwi standard seperti ini memang menggelikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar menggesa Nga memohon maaf dan menarik balik kenyataannya, serta meminta pemimpin DAP supaya peka terhadap sensitiviti umat Islam bagi mengelak salah faham.

"Menjadikan isu zakat sebagai bahan sindiran atau alat politik adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

"Kami menegaskan bahawa zakat tidak boleh dan tidak sepatutnya digunakan dalam perbandingan dengan kedudukan mana-mana parti politik.

"Sikap DAP yang cuba memperlekehkan institusi zakat dengan kenyataan sedemikian adalah sangat dikesali, seolah-olah tidak memahami sensitiviti umat Islam dalam hal ini," katanya.

Ahad lalu Nga dilapor mengumumkan bahawa dia akan menyumbangkan gaji sebagai ahli parlimen selama sebulan kepada Pemuda DAP, yang menurutnya adalah "sayap termiskin" parti itu dan oleh itu layak menerima zakat.

“(Sumbangan) ini bagi miskin papa kedana, kita ikut sudah masuk asnaf fakir miskin, boleh layak untuk mendapat zakat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS