Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warga asing korek mata lelaki didakwa Jumaat ini
Diterbitkan:  Nov 20, 2024 6:46 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Lelaki warga asing yang ditahan selepas kejadian pergaduhan membabitkan seorang lelaki tempatan cedera parah termasuk bebola mata kirinya dikorek di Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor, akan didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Anuar Abdul Rahman berkata kertas siasatan kes itu hampir siap dan reman ke atas lelaki yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) disambung tiga hari lagi bermula hari ini.

"Reman ke atas lelaki berusia 28 tahun itu tamat hari ini dan pihak polis memohon menyambung reman bagi melengkapkan kertas siasatan kes itu sebelum mahkamah membenarkan (sambung reman) tiga hari lagi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung lelaki warga asing itu daripada Jabatan Imigresen manakala mangsa berusia 52 tahun masih dirawat di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan semakin baik.

Media sebelum ini melaporkan kejadian itu yang berlaku kira-kira 2 petang Sabtu lepas telah menyebabkan mangsa mengalami kecacatan kekal.

Kes disiasat di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS