Kementerian Dalam Negeri telah memberi taklimat kepada anggota dua Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) mengenai cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA), pada minggu lalu.
Taklimat itu melibatkan JPKP Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi dan JPKP Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi.
Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen, yang mempengerusikan JPKP Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, bagaimanapun berkata kandungan taklimat tersebut adalah sulit.
“Menurut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, mana-mana bahagian daripada taklimat itu tidak boleh didedahkan (secara rasmi) sehingga saya menulis laporan saya,” katanya.
“Cadangan pindaan tersebut belum dibentangkan dalam bentuk akhir. Ia (taklimat) lebih kepada sesi libat urus.
“Tetapi butiran kekal sulit,” kata Leong kepada Malaysiakini.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan, yang menganggotai JPKP Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi, turut mengesahkan kehadirannya di taklimat itu yang diadakan pada 14 November lalu.
Pada Sabtu lalu, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) dalam kenyataan bersama menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan kerajaan untuk meminda PPPA, yang dikatakan antaranya melibatkan langkah mewajibkan lesen kepada media dalam talian.
Mereka berkata ada menerima maklumat bahawa pindaan yang dicadangkan termasuk mengembalikan semula keperluan untuk pembaharuan lesen setiap tiga tahun dan memperluas takrifan penerbitan dengan merangkumi kandungan digital dan elektronik.
Sebagai respons, Naib Pengerusi DAP Teresa Kok berkata jika pindaan memang akan dibuat, ia boleh menjejaskan lagi kebebasan media di Malaysia yang sudah rapuh dan mengkhianati komitmen kerajaan terhadap ketelusan dan keterbukaan.
Terdahulu hari ini, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin, menyifatkan kebimbangan mengenai peraturan yang lebih ketat untuk penerbit dan pengamal media adalah berdasarkan “khabar angin”.
Sebelum taklimat Parlimen, pihak berkepentingan dalam kerajaan pada Mei lalu telah mengadakan rundingan dengan pemain industri media mengenai cadangan pindaan tersebut, termasuk berhubung memperluaskan kawalan sedia ada untuk merangkumi kandungan media digital.