Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suri rumah mengaku salah sokong, miliki bahan berkaitan Daesh

Seorang suri rumah mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh, Jun lepas.

Irma Julyanti Buang, 39, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan hakim K Muniandy.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Dis ini untuk sebutan kes.

Irma Julyanti dituduh memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan menggunakan aplikasi media sosial Facebook atas nama “Bunga Dahlia” dan TikTok atas nama “bungadahlia111” dan dia dikesan melakukan perbuatan itu di Pusat Tahanan Polis Batu Muda, Kuala Lumpur pada 10.28 pagi, 28 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 40 tahun atau denda dan dilucut hak mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Wanita itu turut dituduh memiliki bahan-bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh dalam telefon bimbit dan komputer riba di sebuah rumah di Felda Moakil, Labis, Johor pada 7.10 pagi, 23 Jun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan dilucut hak mana-mana bahan tersebut, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Azfar Asadullah Abdul Sathar yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan lain berikutan pihaknya memerlukan masa untuk meneliti dokumen berhubung pengakuan salah anak guamnya.

"Saya memerlukan masa untuk meneliti dokumen berkaitan pertuduhan sebelum menasihati anak guam," katanya yang turut memaklumkan dia baru dilantik sebagai peguam tertuduh.

Pada prosiding hari ini kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maryam Jamielah Ab Manaff.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS