Kerajaan digesa memberi keutamaan kepada pekerja tempatan dengan menawarkan gaji yang kompetitif dan syarat kerja yang adil bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sentosa Gunaraj George berkata keutamaan ini bukan sahaja penting untuk menangani masalah pengangguran tetapi juga untuk meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan.
Gunaraj menekankan perkara ini ketika mengulas keputusan terbaru yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, untuk membenarkan pengusaha stesen minyak mengambil pekerja asing di kafe dan kedai serbaneka.
“Keputusan ini mencerminkan keperluan industri yang sedang berkembang, tetapi kita tidak boleh mengabaikan keutamaan untuk rakyat Malaysia.
“Gaji yang terlalu rendah tidak akan menarik minat pekerja tempatan, dan ini akan terus membuka ruang kepada kebergantungan terhadap pekerja asing sebagai pilihan yang lebih murah,” katanya.
Pemimpin PKR itu turut memuji langkah kerajaan yang membenarkan pekerja asing dalam sektor stesen minyak diambil bekerja secara langsung oleh syarikat pengendali stesen, tanpa melalui ejen.
“Langkah ini amat dialu-alukan kerana ia dapat menghapuskan eksploitasi oleh pihak tengah yang tidak bertanggungjawab yang menggelar diri mereka sebagai ejen pekerjaan.
“Pengambilan secara langsung memastikan ketelusan dan akauntabiliti, serta memastikan pekerja asing dilayan dengan adil,” katanya.
Semalam, Saifuddin memaklumkan bahawa kerajaan secara dasar bersetuju memberikan kebenaran kepada pengusaha stesen minyak menggaji pekerja asing bagi kerja-kerja pembersihan serta pencucian di kafe dan kedai runcit stesen minyak.
Menteri itu berkata ini kerana stesen minyak kini mengalami banyak evolusi dengan adanya kafe dan kedai runcit.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata keputusan itu tidak melibatkan tambahan kuota pekerja asing.
Sementara itu, Gunaraj turut menyentuh mengenai inisiatif kerajaan untuk menawarkan pekerjaan kepada banduan dengan kesalahan ringan sebagai sebahagian daripada usaha reintegrasi mereka ke dalam masyarakat.
Dia menyifatkan usaha ini sebagai langkah terpuji tetapi menegaskan bahawa ia perlu dilaksanakan dengan teliti.
“Memberikan peluang kedua kepada banduan adalah usaha murni, namun perlu ada proses penapisan dan pemantauan yang ketat untuk mengelakkan risiko serta mengekalkan keyakinan masyarakat,” tambah Gunaraj.