PARLIMEN l Pendawaian elektrik yang tidak teratur punca kemalangan yang menimpa remaja berumur 18 tahun yang maut akibat renjatan elektrik dalam sebuah bas ekspres pada 1 November lalu, kata Menteri Pengangkutan (MOT) Anthony Loke.
"Pasukan Petugas Khas mendapati bahawa pendawaian elektrik pada bas tersebut adalah tidak teratur, di mana sambungan pendawaian dari keluaran kotak pengagihan (DB) ke pendawaian soket dipasang secara terbalik.
"Di samping itu, penggunaan kelengkapan elektrik yang digunakan dalam bas tersebut juga tidak memenuhi standard piawaian barangan yang ditetapkan.
“Pemasangan pendawaian elektrik bas juga dilakukan oleh pihak yang tidak bertauliah oleh Suruhanjaya Tenaga (ST)," katanya pada sidang media di bangunan parlimen hari ini.
Loke berkata, walaupun komponen struktur bas mematuhi pelan teknikal yang diluluskan dan telah melepasi pemeriksaan Puspakom pada 20 Mei tahun ini, namun aspek keselamatan pendawaian elektrik perlu juga diberi perhatian segera.
"Ini adalah kerana bagi mengelakkan sebarang risiko bahaya yang boleh mengancam keselamatan pengguna," katanya.
Sehubungan itu, menurutnya, Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) pada 7 November telah mengeluarkan surat pemberhentian sementara operasi bas berkenaan sehingga siasatan lanjut selesai. Ini setelah agensi itu mengenal pasti sebuah lagi bas milik pengendali yang sama turut mempunyai spesifikasi pendawaian elektrik yang sama.
Pada 4 November, MOT menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk meneliti insiden kemalangan yang menimpa seorang remaja yang maut akibat renjatan elektrik dalam sebuah bas ekspres.
Pasukan petugas khas yang diketuai oleh MOT itu, turut dianggotai oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Apad, ST, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) serta Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba mengecas telefon bimbit di soket di sebuah bas ekspres di Penang Sentral, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Anuar Abd Rahman berkata mangsa Mohamad Nur Asymawi Jasmadi,18, ditemukan maut dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 petang.
Hasil pemeriksaan awal polis terhadap tubuh mangsa mendapati terdapat kesan melecur di jari sebelah kiri, yang disyaki berpunca daripada renjatan elektrik.
Pemeriksaan turut mendapati penghujung kabel yang digunakan cair, dan telefon bimbit mangsa berada dalam keadaan panas.
Sementara itu, Anthony Loke berkata Apad telah mengambil tindakan segera dengan mengeluarkan surat makluman kepada semua pengendali bas pada 6 November untuk menghentikan penggunaan semua soket elektrik 3-pin dalam bas dengan serta-merta.
Arahan ini berkuatkuasa sehingga polisi dan garis panduan pendawaian tambahan yang baru dikeluarkan oleh MOT.
"Bagi proses pelesenan, Apad juga mewajibkan syarikat pengendali bas baru dan sedia ada mengemukakan keputusan laporan atau sijil pemeriksaan pendawaian tambahan oleh badan pemeriksaan dan pengujian yang telah diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia.
"Mereka juga perlu mengemukakan sijil pendawaian dan kelengkapan elektrik tambahan seperti kabel, soket alur keluar, peranti arus baki dan lain-lain yang digunakan oleh semua kenderaan perdagangan mempunyai pensijilan standard piawaian yang diiktiraf oleh badan pemeriksaan dan pengujian yang telah diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia," katanya.