PARLIMEN l Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini dalam fasa akhir memuktamadkan perolehan kad pengenalan struktur baharu bagi menggantikan kad pengenalan sedia ada yang dikeluarkan kepada rakyat sejak 2012.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata penggantian kad pengenalan struktur baharu ini bagi memastikan kad pengenalan dikeluarkan JPN mempunyai ciri-ciri keselamatan yang tinggi, selamat dan dipertingkatkan selari dengan perkembangan teknologi keselamatan terkini.
“Kad pengenalan baharu ini juga bagi membendung sebarang insiden dan percubaan untuk memalsu dan menyalahgunakan kad pengenalan yang merupakan dokumen penting bagi rakyat Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai status terkini berkenaan kad pengenalan generasi baharu yang bakal diperkenalkan kerajaan bagi menggantikan kad pengenalan sedia ada.
Shamsul Anuar berkata kad pengenalan generasi baharu itu diperbuat daripada bahan policarbonat serta dilengkapi cip keselamatan berkapasiti storan lebih besar dengan piawaian keselamatan dan penyulitan dipertingkatkan bertujuan membendung pemalsuan kad pengenalan da kebocoran data.
“Reka bentuk kad pengenalan generasi baharu ini tampil lebih moden dengan elemen torehan laser dan hologram lebih maju selaras dengan perkembangan teknologi terkini dan ciri keselamatan yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata KDN melalui JPN sedang menjalankan kajian pasaran bagi memastikan pelaksanaan kad pengenalan generasi baharu itu memenuhi prinsip nilai faedah terbaik untuk memastikan kos pengeluaran tidak membebankan kerajaan, selain menjamin penggunaan sumber secara optimum.
Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata sebanyak 2,103 operasi dan penguatkuasaan dilakukan di seluruh negara melibatkan 1,606 operasi penguatkuasaan oleh JPN dan 497 operasi bersepadu bersama agensi pihak berkuasa sepanjang 2022 hingga 31 Okt 2024.
Menurut beliau, hasil daripada operasi dilaksanakan, JPN telah menahan 519 individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 190 individu didakwa di bawah Peraturan 25 (1) (e) iaitu 130 orang melibatkan kad pengenalan palsu dan 60 individu melibatkan kesalahan memiliki kad pengenalan orang lain.
“Sebab itu kita lihat ada keperluan untuk membangunkan (kad pengenalan) berteknologi lebih terkini supaya isu-isu ini dapat ditangani dengan baik dan berkesan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai jumlah kes pemalsuan kad pengenalan.
- Bernama