Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pindaan PPPA untuk perketat peraturan hanya khabar angin, kata wakil PKR

PARLIMEN l Seorang ahli parlimen kerajaan tampil menolak kebimbangan yang dibangkitkan oleh pihak berkepentingan mengenai cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

Sebaliknya, kata ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin, kebimbangan yang dibangkitkan terhadap peraturan yang lebih ketat untuk penerbit dan pengamal media adalah berdasarkan "khabar angin".

"Saya rasa ini khabar angin, kan? Kementerian Dalam Negeri akan menangani isu ini dan saya rasa mereka akan bawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen juga.

"Buat masa ini, ia hanya khabar angin," katanya, pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli parlimen PKR itu berkata demikian ketika ditanya apa yang akan dilakukannya di Dewan Rakyat untuk memastikan tiada pindaan regresif diluluskan, contohnya perubahan yang dikatakan terhadap PPPA.

Sabtu lalu, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) membangkitkan kebimbangan berhubung cadangan Putrajaya yang dikatakan untuk meminda PPPA, termasuk mengenakan keperluan pelesenan untuk media dalam talian.

Kumpulan itu berkata mereka menerima maklumat bahawa pindaan yang dicadangkan termasuk mengembalikan semula keperluan untuk pembaharuan lesen setiap tiga tahun dan memperluaskan definisi penerbitan dengan memasukkan kandungan digital dan elektronik.

Sebagai tindak balas, Naib Pengerusi DAP Teresa Kok berkata jika pindaan itu benar, ia boleh menjejaskan lagi kebebasan akhbar Malaysia yang sudah rapuh dan mengkhianati komitmen kerajaan terhadap ketelusan dan keterbukaan.

Sementara itu, Sim turut mempertahankan pentadbiran persekutuan pimpinan Anwar Ibrahim susulan penilaian "Gred D" yang diberikan Bersih sebagai sebahagian daripada penilaian pertengahan penggal gabungan reformasi pilihan raya itu.

“Sebagai pelapis daripada PKR, kami masih mempunyai aspirasi (reformasi) dan kami masih menuntut lebih banyak pembaharuan institusi.

"Ya, kami akan melaksanakan tugas kami. Kami berjanji itu. Tetapi kami faham bahawa semua pembaharuan memerlukan masa, kesabaran, dan berhati-hati.

"Kita perlukan perdana menteri yang mempunyai kestabilan . Dia sangat berpengalaman, dia tahu bila untuk melakukan perkara-perkara tertentu," kata Sim yang menyatakan keyakinan terhadap keupayaan Anwar untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang akan merangsang pembaharuan lain.

Sim seterusnya menyenaraikan reformasi yang dilaksanakan termasuk meluluskan pindaan perlembagaan mengenai hak kewarganegaraan, serta memansuhkan hukuman mati mandatori, yang didakwanya "tidak dihargai" oleh Bersih.

Bersih dalam melancarkan penilaian pertengahan penggalnya malam tadi mengaitkan gred buruk itu berpunca daripada kegagalan kerajaan perpaduan melaksanakan reformasi institusi yang ketara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS